Ahad, September 01, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 9





Pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri sudah dibuat. Kerumun ahli keluarga Wan Mariani di hadapan kaca televisyen. Kalau sebelum-sebelum ini berita TV1 langsung tak jadi pilihan, malam ini semua pakat menghadap saluran itu. Tak lain dan tak bukan sebab nak dengar pengumuman oleh penyimpan mohor besar diraja itulah. Kalau tidak, tak ada maknanya mereka semua khusyuk melayan. 

Esok adalah 1 Syawal. Bila tibanya Hari Raya, golongan yang paling gembira tentu sekali kanak-kanak. Mereka yang polos. Tidak ada resah yang memberat dalam fikiran. Hidupnya hanya penuh dengan keriangan. Hari Raya disambut seolah-olah itulah kegembiraan paling kemuncak usai sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Mereka tidak fikir apa-apa selain keseronokan lebaran. Ah, andai saja mampu diputar waktu kembali semula ke zaman itu! Tetapi, sayang sekali hasrat itu tidak akan tercapai. Yang sudah berlalu tetap akan berlalu. Tidak akan kembali walau dimuntahkan air mata darah sekalipun. Sementelahan itulah hukum alam kehidupan.

Farisha sedang mengupas bawang besar dan bawang merah yang ada selonggok di hadapannya. Entah kenapa bahagian itu yang disuruh bereskan oleh Wan Mariani. Kenapa bukan si Nadia senget yang kena kupas dan hiris bawang? Biar buta mata dia! Fuh, panas sungguh hati Farisha tatkala teringatkan Nadia. Semenjak melihat adegan yang tak dirancang petang tadi di halaman rumah Wan Mariani, makin sedap mulut Nadia menyengat. Walaupun naik bisa telinga Farisha mendengar tetapi dia diamkan saja. Kalau ikutkan mahu saja dia letak tebuan dalam mulut perempuan tu. Biar bengkak tak boleh nak telan apa-apa pagi raya esok! Tetapi mengenangkan dia masih mementingkan air muka mama dan papanya, jadi didiamkan saja hasrat yang agak ekstrem itu.

Becok suara di dapur itu agak bingit di pendengaran. Biasalah Aidilfitri menjelang setahun sekali. Siapa yang mahu tidur selepas Isyak di malam raya? Adakah? Kalau ada mesti kasihan betul orang itu. Malam raya merupakan saat-saat yang begitu berharga untuk dihabiskan bersama keluarga tersayang. Di dalam rumah kampung yang agak luas itu, kaum perempuan sibuk bergotong-royong menyediakan hidangan untuk pagi esok. Wan Mariani sibuk dengan penyediaan rendang tok warisan temurunnya. Datin Khalidah, Mak Ngah Faridah dan yang lain-lain sibuk dengan kerja masing-masing.  Nadia pula ditugaskan memasang langsir, menukar sarung kusyen dan menghamparkan permaidani di ruang tamu dan ruang makan. Manakala yang lelaki pula sibuk membakar lemang di luar sana. Dan anak-anak kecil pula riang bermain bunga api mengelilingi pelita yang benderang menghiasi laman rumah Wan Mariani. Bahagianya berhari raya di kampung halaman!

“Sha, kamu hiris bawang tu baik-baik. Jangan sampai terpotong jari pula. Mak Ngah tengok macam jasad kamu ja yang dok ada kat sini. Fikiran melayang entah ke mana tah! Dah la esok kamu masuk 30 tahun, karang terpotong jari, sampai ke 40 pun tak kahwin lagi!” Tiba-tiba saja suara Mak Ngah Faridah yang becok mengumpat anak jiran sebelah  rumahnya yang beranak luar nikah menyembur kepada Farisha.

Farisha yang sememangnya membuat kerja dengan separuh hati sedikit tersentak. Mulutnya mahu membalas kata-kata lancang Mak Ngah Faridah tetapi tangan Datin Khalidah yang memegang pahanya menghalang Farisha untuk memuntahkan kata-kata. Sayangnya diam Farisha tidak berjaya membisukan Mak Ngah Faridah. Sudah, mulutnya becok. Nak buat macam mana kan?

“Hah, kamu ni berangankan budak lelaki tadi itu, ya? Bukan main lagi buat aksi daring dekat depan laman tu. Ish, Khalidah, akak rasa elok kamu carikan jodoh cepat-cepat untuk Sha ni! Nampak macam desperate la sangat. Sampaikan cucu si Rahmah tu nak dipeluknya. Bulan puasa pula tu!” Berdesing telinga Farisha mendengar kata-kata Mak Ngah Faridah. Tetapi dia masih lagi cuba bersabar. Pisau di tangan sengaja diketuk-ketuk kasar pada papan pemotong. Tanda protes yang jelas. Saat itu papan pemotong itu tidak ubah kelihatan seperti mulut Mak Ngah Faridah!

“Kak Faridah ni, yang tadi itu kan bukan Sha sengaja pun. Dia ingat budak tu orang jahat. Manalah dia tahu, budak tu cucu Rahimah. Lagipun dah lama tak jumpa kan. Masa kecil-kecil dulu adalah pernah jumpa, itupun pantang bertemu gaduh.” Datin Khalidah mula bersuara. Tak sanggup pula dia biarkan anak gadisnya dihentam oleh kakak iparnya yang seorang itu.

“Hurmm, ya lah! Habis tu kamu ni takkan tak mahu tengok si Sha naik pelamin. Umur dia bukan muda lagi tau. Tengok Nadia, baru 25 dah tunang. Tahun depan dah nak nikah. Takkanlah kamu tak teringin nak timang cucu dari anak perempuan kamu. Dahlah dialah satu-satunya anak perempuan yang kamu ada!” Mak Ngah Faridah masih tidak kenal putus asa untuk membicarakan soal yang membuatkan Farisha rimas itu.

“Soal jodoh tu akak tak perlu risaulah. Tahulah saya nak buat macam mana. Farisha ni anak saya kak. Satu-satunya anak perempuan yang saya ada. Takkanlah saya nak biarkan dia sendirian tak berteman. Esok saya dah jemput kawan lama saya datang beraya dekat sini. Hari itu saya terjumpa dia dekat Kuala Lumpur. Bila sembang-sembang, terbuka la cerita tentang anak bujang dia dengan anak dara saya ni. Lagipun dia memang duduk dekat Penang. Jadi memang raya kali ini saya dah set nak bagi Sha jumpa dengan anak bujang kawan saya tu. Biar kenal-kenal dulu. Mana tau serasi! Panjang lebar Datin Khalidah menerang. Biar jelas. Faridah ni ingat dia tak ambil berat fasal anak sendiri ke, apa?

Tangan Farisha yang masih sedang menghiris bawang itu terhenti. Pandangannya ditala pada Datin Khalidah. Ini yang dia tidak suka! Sekarang ini bukan zaman P.Ramlee lagi la. Sampaikan nak paksa-paksa orang kahwin, lepas tu nak dikenenkan dengan orang itu dan ini.

“Mama, kenapa buat macam ni, tak tanya Sha dulu?” Farisha mula mengajukan soalan kepada mamanya. Sudah tentu dia tidak berpuas hati. Entah siapa yang akan datang esok? Sah-sah dialah yang akan jadi mangsa untuk melayan. Stres dia macam ini!

“Apa yang mama buat? Mama bukannya suruh kamu kahwin esok! Saja, kenal-kenal biasa dulu. Kalau suka baru teruskan. Kalau tidak, yang itu belakang cerita!” Jawab Datin Khalidah.

Belum sempat mulut Farisha berbunyi membalas kata-kata mamanya, ada satu suara lain menyampuk!

“Kamu ni, Sha! Jumpa orang lelaki pun banyak songeh. Macam mana nak dapat jodoh kalau jumpa pun kamu tak mahu? Kamu ni normal ke tidak?  Habis tu kalau dah tak suka jantan, selera kamu takkan dekat betina pula?” Lancang betul mulut Mak Ngah Faridah. Terlopong mulut Datin Khalidah dengan kata-kata kakak iparnya. Sampainya hati bercakap serupa itu!

“Mak Ngah! Mak Ngah nampak tak dekat tangan Sha ni ada apa? Farisha mula mengangkat pisau yang tajam dan berkilat itu setinggi wajahnya.

“Kalau Mak Ngah tak nak Hari Raya esok, jadi kenduri arwah, lebih baik tutup mulut tu! Tegas Farisha bersuara. Sampai bila dia mahu diam. Sabar itu ada hadnya. Hormat pula kena tengok pada ketikanya. Kalau kita mahu dihormati, hormatlah orang lain terlebih dulu. Tak kira kecil atau besar, tua atau muda. Hormat itu adalah saling berkait. Bukan bermakna yang muda sahaja perlu menghormati orang tua sebaliknya orang yang dewasa juga perlulah berkelakuan yang senada dengan orang yang lebih muda.

Pisau di tangan, Farisha lepaskan dengan kasar pada papan pemotong. Dia bingkas bangun dan meninggalkan ruang dapur itu. Datin Khalidah hanya diam. Tidak menahan Farisha. Apa lagi mahu menegur perbuatan anak gadis itu. Dia tahu kata-kata anaknya itu sekadar mahu membela diri. Mak Ngah Faridah pula monyok saja wajahnya. Sudah dibalas depan-depan begitu, mahu diletak mana muka?

“Hah, Faridah, lain kali cabul lah lagi. Nasib Farisha lempar pisau tu dekat bawah. Kalau mak lah kan, entah-entah kena dekat dada awak!” Selamba Wan Mariani menyembur menantunya yang tak insaf-insaf daripada mengata orang itu. Bertambah cemberut jadinya wajah Mak Ngah Faridah. Mulut pun dah terherot semacam. Gaya orang baru inject botox dekat bibir pun ada!

******

Farisha sudah memerap dalam bilik. Dia tidak mahu keluar lagi. Biar saki-baki waktu malam raya itu habis terperap di dalam bilik sahaja. Kalau keluar sekadar menyakitkan hati nak buat apa?  Farisha cukup sedar sikap Mak Ngah Faridah dan Nadia yang suka menyakitkan hati. Selagi mereka tak puas selagi itu mereka akan mengata. Bila ada yang rajuk membawa diri seperti Farisha yang sedang mengunci diri ini bergelak sakanlah mereka di dalam hati. Sukalah tu. Tak tahulah Farisha apa jenis manusia macam tu! Tetapi yang pastinya memang wujud manusia yang jenisnya sebegitu.

Katil bujang yang terdapat dalam salah sebuah bilik di dalam rumah neneknya yang dikhususkan untuk dirinya dipanjat. Farisha rebahkan diri. Penat badan membuat persiapan akhir menyambut lebaran tak seberapa jika nak bandingkan penatnya otak dan akal menerima hentaman manusia yang kaki penyibuk hal orang lain. Kepalanya dilabuhkan pada bantal yang empuk. Rasa nyaman seketika. Seolah-olah segala yang mencengkam akal fikirannya hilang berterbangan.

Farisha memejamkan mata pula. Cuba membuang kata-kata Mak Ngah Faridah yang laser. Tetapi kata-kata itu seolah-olah tidak mahu tanggal daripada kotak ingatan. Kuat betul penangannya! Lalu Farisha mengambil pendekatan mudah. Dia beristighfar. Astaghfirulahalazim. Lafaz zikir itu diulang-ulang. Sehingga hatinya menjadi tenang. Hingga mindanya menjadi lapang. Sejurus, emosinya stabil, Farisha berhenti.  Dia ubah posisi tubuhnya. Daripada mengiring kepada menelentang. Kepala melihat ke atas. Matanya bergerak melihat bilah-bilah kipas yang berputar. Dan fikirannya memutarkan episod kejadian petang tadi dengan begitu pantas!

“Ya Allah, Ya Tuhanku! Ni kenapa terjerit pekik ni? Yang sampai terbaring atas orang ni kenapa, Farisha hoi?” Panjang benar tariknya di hujung. Suara Wan Mariani nyaring kedengaran. Siapa yang tak terkejut melihat anak dara dengan anak teruna terbaring  di halaman rumah? Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba nak buat drama sebabak percuma!
Farisha pantas bangun daripada keadaan semasa yang agak memalukan. Habis semua orang sedang tenung kepadanya! Merah muka Farisha.

“Wan, bila kamu sampai? Yang kamu tu, buat apa dekat Farisha, sampai dia terjerit minta tolong?” Wan Mariani bertanyakan kepada lelaki yang terdampar bersama Farisha di atas tanah itu.

Sekarang lelaki itu pula kalut bangun. Dikibasnya seluar dan baju yang sudah dikotori tanah. Semua ini salah gadis itu. Tiba-tiba sahaja mahu terkamnya. Tak fasal-fasal kena berjawab dengan Nek Ani. Belum apa-apa lagi dah dapat cop mohor dekat dahinya. Cop mohor lelaki tak baik! Ya, lah. Baikkah lelaki itu kalau berpelukan dengan anak dara orang tanpa apa-apa ikatan? Di bulan puasa pula tu! Tapi dia bukan sengaja kan? Lebih tepat lagi bukan salah dia pun.

“Bukan salah dia nek. Sha yang salah. Ingatkan orang jahat ke apa. Itu yang Sha jerit. Tambah tengok dia macam terhendap-hendap dekat si kembar tu. Paniklah Sha. Sekarang ni kan banyak kes culik budak-budak.” Terang Farisha.

“Hurmm, ingatkan apalah tadi. Ya lah, setahu Mak Ngah orang buat benda tak elok ni macam dekat semak seberang sana ka, dalam stor dekat belakang rumah ka, atau dekat kebun sana tu. Mana ada orang nak buat maksiat terang-terang macam ni!” Mak Ngah Faridah pula bersuara.

“Sha, kamu dah tak kenal dengan si Wan ni ke? Wan ni kan cucu Rahimah, kawan baik nenek tu. Dulu masa kecil-kecil dulu selalu juga kamu semua main sama-sama. Lepas tu selalu sangat kamu datang mengadu dekat nenek, Abang Wan buat Sha, Abang buat Sha. Apa yang si Wan tu buat pun nenek tak tahu!” Wan Mariani membuka kisah lama. Ayat terakhir itu diulangnya dua kali dengan gaya budak-budak merengek mengadu. Tergelak beberapa orang yang ada di situ. Mereka sekadar melihat tanpa bersuara termasuklah Nadia!

“Alah, mak! Benda masa kecil dulu, manalah Sha nak ingat lagi. Dah lupalah tu. Idah tengok si Wan ni dah makin handsome. Dulu masa budak lagi, sekali pandang nampak sememeh ja.” Datin Khalidah pula menyampuk. Menjawab bagi pihak Farisha kononnya.

“Apa-apa ajalah. Hah, dahlah mari kita sambung kerja balik. Banyak lagi yang tak siap tu. Dibuatnya esok raya karang sampai ke subuhlah kita tak tidur nanti!” Wan Mariani memberi arahan. Semua menurut. Masing-masing kembali semula ke tempat mereka sebelum bergegas ke halaman rumah setelah mendengar suara jeritan Farisha. Tinggallah Farisha dengan lelaki yang dipanggil dengan Wan itu yang masih diam berdiri di halaman rumah Wan Mariani.

“Awak, jom duduk sekejap dekat pangkin tu.” Ajak lelaki itu.

Farisha memandang lelaki itu sebentar. Usai mengajak lelaki itu terus berjalan ke arah pangkin. Tidak langsung menunggu untuk mendengar sama ada Farisha setuju ataupun tidak untuk duduk di pangkin itu. Memandangkan lelaki itu sudah pun selamat sampai dan duduk di pangkin yang terletak di bawah pohon rambutan yang rendang, membuatkan Farisha tetap juga melangkah ke arahnya. Pandai juga lelaki yang dipanggil Wan Mariani sebagai Wan ni. Ajak kemudian terus pergi. Nak atau tak nak terpaksa juga Farisha pergi sebab tidak sempat memberikan maklum balas lagi.

Farisha duduk di sebeleh lelaki itu. Diam. Tak bersuara. Rasa kekok pun ada. Padahal bukannya tak pernah jumpa. Tetapi dia tidak tahu nak bercakap apa.  Entahlah susah nak digambarkan. Hati melompat girang dapat bersua kembali dengan lelaki itu. Tetapi mulut berkunci tetap juga membisu.

“Kenapa,awak pergi saja macam tu? Macam tu sekali awak marah dekat saya sampai tahap nak berhenti kerja?” Wan mula menyoal.

Farisha diam. Tak tahu nak jawab apa. Memang dia ada marah dekat lelaki itu. Tetapi hanya pada ketika itu sahaja. Lepas beberapa hari peristiwa di OOTB Creative berlalu, dia rasa menyesal pula berkelakuan tidak sopan terhadap lelaki itu. Walau macam mana sekalipun, bos tetap bos kan? Jadi mestilah kena hormat.

“Memang saya marah. Dan saya tak nafikan tindakan berhenti kerja tu ada kaitan dengan peristiwa hari tu. Tapi saya dah lupakan semuanya. Yang lepas tu biar sajalah.” Farisha membalas.

“Habis tu awak buat apa sekarang ni? Kerja dekat mana? Wan menyoal lagi.

“Tak ada buat apa-apa. Tanam anggur saja dua minggu ni. Tak terfikir pun nak cari kerja lain. By the way tak ada sesiapapun dalam kalangan family saya yang tahu tentang ni.” Farisha menjelaskan duduk letak keadaan semasa dirinya.

“Saya minta maaflah awak. Memang tak dinafikan kadang-kadang saya terlepas cakap. Laser. Tapi dengan awak dah jadi terlebih sikit.” Wan menambah.

Farisha terkejut mendengar. Lelaki yang ego dan perasan bagus macam dia ni tahu minta maaf juga ke? Farisha lihat muka lelaki itu. Matanya redup. Penuh pengharapan. Seolah-olah sedang merayu kemaafan daripadanya. Ceh, melebih-lebih analogi Farisha!

“I’am sorry. Awal dulu masa kita jumpa dekat bazar Ramadan memang saya tak kenal awak lagi. Lepas tu saya ada balik kampung dan singgah sini. Nek Ani ada tunjuk gambar awak dan cerita kisah lama. Lepas tu saya memang sengaja buat-buat marah dan cari fasal dengan awak. Saja nak imbau masa dulu-dulu. Masa kecil dulu kan kita selalu bergaduh.” Wan sekali lagi minta maaf.

“Habis tu, awak dah kenal saya lama la. Kenapa tak beritahu?” Tanya Farisha.

“Saja. Nak bagi awak teka sendiri. Mana tahu, bila asyik gaduh dengan awak, boleh bagi awak ingatkan memori lama masa kita kecil-kecil dulu. Tapi awak dah tak ingat kan? Awak dah lupakan Abang Wan awak ni kan? Soal lelaki itu lagi.

Gulp! Abang? Kenapa pelik sangat bunyinya kedengaran. Tapi Farisha tak rasa geli, Cuma rentak hatinya saja yang berubah, macam baru lepas gelek menari. Seksinya bunyi perkataan abang kedengaran bila meluncur dari bibir lelaki itu. Dup dap. Dup dap. Hati Farisha buka main bergendang! Gedik sungguh! Dahlah suara mamat ni terlebih romantik petang ni. Cakap pun lembut aja. Sopan. Serupa macam lelaki Melayu terakhir. Padanlah cik hati Farisha pun nak menggedik sakan!

“Masa tu muda sangatlah awak. Kadang-kadang kita bukan ingat semua benda yang terjadi dalam hidup kita kan? Nak, nak yang waktu kecil dulu. Lepas tu lama lost contact. Tetapi walaupun tak ingat tak bermakna dah dilupakan.” Jelas Farisha.

“Maksudnya, awak ada jugalah ingatan dekat saya ni?” Tanya Wan pantas.

Gelojohlah pula. Penting sangat ke nak ingat dia? Kalau bab mulut laser dengan kata-kata yang pedas bab gunung berapi yang pernah keluar daripada mulut lelaki itu mana mungkin dapat dilupakan oleh Farisha. Tetapi itu tidak bermakna dia menyimpan dendam terhadap lelaki itu, cuma ingatan terhadap perlakuan lelaki itu yang masih belum tanggal.

“Ingatlah. Mana boleh lupa? Awak sembur saya depan orang ramai dekat bazar. Lepas tu awak tengking saya dekat OOTB Creative. Mestilah ingat, mana boleh lupa?” Sengaja Farisha mengungkit. Mahu lihat reaksi lelaki itu.

“Awak, kan saya dah minta maaf? Tak nak terima maaf saya ke? Saya tahu saya terlebih over sedikit masa mengata kat awak dulu. Tapi bukan sengaja saya buat macam tu. Ada sebabnya.” Wan masih lagi berusaha meraih kemaafan daripada Farisha.

Sebab apa? Sebab awak suka dekat saya ke? Bukankah, lelaki ada macam-macam cara nak tarik perhatian perempuan? Salah satunya dengan cari gaduh. Hati Farisha berteka-teki. Tetapi dalam hati sajalah. Takkan dia nak tanya terus dekat mamat tu. Tak ke gila namanya.

“Maaf erk? Macam mana, ya? Tak apalah, esok atau lusa kan dah raya. Awak minta masa tu lah erk. Sementara tu biar saya fikirkan dulu sama ada nak maafkan ke atau tak.” Selamba saja Farisha membalas. 

Kemudian dia pantas bangun dan melangkah pergi daripada lelaki itu. Selang beberapa langkah dia berhenti dan berpaling ke belakang. Lelaki itu yang dipanggil Wan oleh neneknya masih memerhatikannya. Farisha senyum dan mengenyitkan mata dengan nakal. Kemudian dia pantas berlari anak masuk ke dalam rumah. Faliq Zaquan terkedu. Berani juga Farisha ni main kenyit mata dengan anak teruna orang! Hatinya dah rasa semacam!

[Bersambung]


7 Komentar

Write Komentar
Kathy Rbain
AUTHOR
1/9/13 9:55 PTG delete

cantik nama watak yg di pilih :)

Reply
avatar
Qairunniesa
AUTHOR
1/9/13 10:45 PTG delete

sy baru baca dr bab 1-bab9..best sgt2... brpa bab lg ye nk abis??

Reply
avatar
1/9/13 11:05 PTG delete

@Kathy Rbain Thanks ya, spontan ja pilih ;)

Reply
avatar
1/9/13 11:05 PTG delete

@Qairunniesa ACtually nk buat pendek ja, tp dh terpanjang sikit, sbb cerpen ja kan, nak habis dh ni, plan nk buat sampai Bab 10 ja...

Reply
avatar
1/9/13 11:10 PTG delete

@Engku Muzahadin Btw, thanks ya, Qairunniesa ;)

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
3/9/13 12:36 PG delete

sambung lg writer.. best... senyum sorg2... hehee

:D

Reply
avatar