Rabu, September 04, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 10




Takbir raya sayup-sayup bergema. Hening subuh itu menjadi sayu. Hati siapa yang tidak akan tersentuh mendengar takbir raya? Bukan yang jauh di perantauan sahaja akan pilu. Bahkan sesiapapun juga akan melaluinya. Tambahan pula jika takbir itu bukan sekadar lalu di telinga semata sebaliknya meresap ke dalam jiwa. Takbir raya yang mengagungkan Tuhan sekalian alam. Dilaungkan dengan penuh ketakwaan usai sebulan menghadapi ujian yang telah disyariatkan.

Awal pagi lagi sesudah solat subuh, Farisha pergi ke tanah perkuburan menemani Wan Mariani ke pusara datuknya. Manakala, Datin Khalidah dan Mak Ngah Faridah masih di dapur menguruskan hal-hal yang belum selesai bersama kaum hawa yang lain. Kubur yang terletak tidak berapa jauh dari rumah Wan Mariani itu dikunjungi saban tahun di pagi lebaran. Wan Mariani tidak pernah ketinggalan melakukan rutin itu saban tahun. Begitu juga dengan pagi ini. Farisha dan Wan Mariani hanya berjalan kaki. Di tangan Wan Mariani ada naskhah surah Yasin dan air mawar yang terisi dalam jag. Manakala Farisha pula membawa segulung tikar dan sekaki payung.

Matahari masih malu menampakkan diri. Lalu suasana nampak kelam dan masih lagi gelap. Meskipun begitu, sudah ada insan-insan lain juga yang lebih awal sampai di tanah perkuburan itu mengunjungi mereka yang sudah kembali kepada pencipta terlebih dahulu. Tidak ada satupun kejadian Tuhan yang akan kekal di muka bumi ini. Sampai saat dan ketikanya, segala sesuatu itu pasti akan mati. Kembali semula kepada pencipta. Dengan membawa sejarah kehidupan masing-masing.

Pagi itu Farisha mengenakan sepasang baju kurung dari fabrik cotton berwarna putih. Tudung yang dipakai juga berwarna putih suci. Pendek kata dari atas ke bawah, Farisha nampak putih berseri. Seolah-olah pakaiannya itu melambangkan tanda kemenangan selepas sebulan menahan nafsu lapar dan dahaga juga perkara-perkara lain yang membatalkan ibadah puasa. Farisha membentangkan tikar di sebelah sebuah pusara. Selesai tikar dibentangkan, Farisha dan Wan Mariani bersimpuh di atas tikar itu. Dengan lafaz Bismillah, kedua-dua insan itu mula membaca surah Yasin dan Tahlil. Usai membaca ayat suci dan berdoa, air mawar dijirus pada pusara. Wan Mariani yang melakukannya terlebih dahulu. Kemudian baru diikuti oleh Farisha.

“Jom nek.” Farisha bersuara perlahan.

Dalam tanah perkuburan tak baik bercakap dengan suara yang tinggi. Itu yang Farisha tahu. Sebab dari kecil selalu dimomokkan sebegitu. Kenapa? Farisha tidak tahu. Dia tak sempat nak tanya dekat mana-mana ustaz. Alang-alang duduk dekat Penang, kalau terjumpa Ustaz Don bolehlah tanya. Bukankah Ustaz Don tu asalnya Penang juga. Mana tahu Ustaz Don pun balik raya. Ada rezeki bolehlah jumpa. Kalau terjumpa tu, Farisha nak tanya soalan ini!

“Sha, kamu pergi dulu. Tunggu nenek dekat pagar luar sana. Nenek nak duduk sekejap dekat sini.” Arah Wan Mariani.

Farisha mengerti. Pasti Wan Mariani mahukan sedikit masa bersendirian bersama ‘suaminya’ itu. Mungkin ada apa-apa luahan atau bicara yang hanya mahu diketahui oleh mereka sahaja. Menghormati privasi neneknya, Farisha akur. Dia bangun dan mula menapak keluar dari tanah perkuburan itu secara perlahan-lahan. Selangkah demi selangkah. Tidak mahu pergerakannya sumbang melanggar pusara orang sesuka hati. Jika nasib tidak baik, dia boleh jatuh tersungkur akibat tersadung akar kayu yang berselirat juga batu-bata yang banyak bersepah di situ.

Dalam pada berhati-hati melangkah, ada sesuatu yang melekap pada pandangan mata Farisha. Sesusuk tubuh yang seakan-akan dikenalinya. Lelaki. Dia sedang bertinggung di salam sebuah kubur, sambil membaca sesuatu. Mulut lelaki itu terkumat-kamit. Dan Farisha yakin lelaki itu sedang membaca ayat-ayat suci atau sedang berdoa. Takkanlah pagi-pagi raya lelaki itu datang ke kubur nak baca mantera pula kan? Malas mahu meneka siapa lelaki itu kerana posisinya yang membelakangkan dirinya, Farisha meneruskan langkah ke arah pintu pagar tanah perkuburan itu. Dia mahu menanti Wan Mariani di luar sana.

“Assalamualaikum.” Tegur satu suara dekat di cuping telinga Farisha.

Terkejut Farisha dibuatnya. Nasib baik tak terjerit. Sudahlah dia sedang berdiri di luar kubur. Seorang pula tu. Kalau suara perempuan yang menegur tak mengapalah juga, boleh jadi suara itu empunya neneknya. Tetapi suara yang memberi salam itu garau. Takkanlah ada roh yang datang menyapa pula? Farisha masih lagi kaku. Tidak dijawab salam itu. Apatah lagi mahu berkalih melihat empunya gerangannya. Kalau betul jelmaan si mati dari dalam kubur ni macam mana? Alamatnya pengsanlah Farisha dekat situ, tak berayalah dia tahun ini!

“Assalamualaikum, awak. Jangan takut. Saya datang dalam rupa manusia lagi. Tak ada pun muka ala-ala momok. Tak percaya meh tengok sini. Handsome lagi tau. Rugi awak kalau awak tak mahu tengok.” Sempat lagi lelaki itu bergurau dalam patah bicaranya. Tapi sekali dengar macam masuk bakul angkat sendiri saja. Sempat lagi puji diri sendiri handsome tu!

Bila lelaki itu dah mula bercakap banyak, maka Farisha sudah boleh meneka siapakah empunya milik suara itu. Ah, Farisha! Sampai kau dah boleh cam suara dia. Angau sangat dah ke?

“Waalaikumsalam.” Sepatah Farisha menjawab sambil berpusing menghadap lelaki itu. tetapi kepalanya ditundukkan. Matanya sekadar memandang hujung jemari sendiri yang terselindung di sebalik sandal yang dipakai.

“Erm, sudi pun jawab salam saya. Tapi awak tak sudi nak tengok muka saya. Maksudnya awak tak boleh nak maafkan saya lagi la kan? Tak apalah, saya tahu saya dah buat silap besar. Tengking awak. Malukan awak depan orang. Saya memang patut dilayan macam ni. Sampaikan nak tengok muka saya pun ada yang dah tak sudi.” Berdrama pula Faliq Zaquan pagi-pagi raya ni. Terlebih tengok sinetron ke apa? Tiba-tiba saja boleh jadi pelakon hebat sekali dengan memek muka dan intonasi suara yang tip top!

Farisha pantas panggung kepala. Wajah Faliq dicari. Mahu dilihat ke dalam anak mata lelaki itu. Tetapi lelaki itu pula kini menunduk. Bagaikan seorang pesalah yang sedang menantikan hukumannya. Ah, lelaki ini! Cuma memakai seluar khaki coklat muda dan baju kain kapas berlengan panjang warna putih dan berketayap juga dari rona warna yang sama. Tetapi kenapa masih nampak seksi di matanya? Farisha memang sudah gila! Farisha tolong cover ekspresi muka tu, nampak teruja sangat!

“Eh, saya tak ada maksud apa-apa! Awak yang salah sangka. Lagipun kan saya ada cakap raya ni saya akan pertimbangkan sama ada nak maafkan awak ataupun tak. Kenapa pula awak anggap saya takkan maafkan awak?” Tanya Farisha perlahan. Suaranya masih dijaga biarpun dia sedang berdiri di luar pagar tanah perkuburan.

“Kalau macam tu, awak dah maafkan sayalah ni?” Faliq Zaquan pantas memandang wajah Farisha. Farisha pula menggeleng.

“Yang mana satu betul ni? Tadi bila saya cakap awak tak maafkan, awak cakap saya salah. Bila saya tanya dah maafkan ke belum, awak geleng pula. Pening la saya macam ni.” Faliq Zaquan menyuarakan kekeliruan. Bingung dengan fiil Farisha. Sekejap ya sekejap tidak. Ingat Chipsmore ke? Sekejap ada, sekejap tiada!

“Geleng, sebab awak tak ada minta maaf pun pagi ini. Macam mana saya nak maafkan?” Sengaja Farisha buat bodoh. Bukankah Faliq dah mohon maaf semalam lagi ketika mereka berbual sebentar di pangkin bawah pohon rambutan di halaman rumah Wan Mariani.

“Okaylah, awak. Saya minta maaf sekali lagi. Atas segala apa yang pernah saya cakap dan buat dekat awak hari itu. Niat saya yang sebenarnya tak adalah serupa apa yang keluar dari mulut, cuma keadaan yang menjadikan pertemuan kita tak seindah mana sebelum ni. Saya minta maaf segala apa yang kurang dari saya, awak. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin” Faliq Zaquan mengatur madah maaf satu persatu.

Belum sempat Farisha membuka mulut menjawab permohonan maaf Faliq Zaquan, ada suatu suara yang memintas perbualan mereka.

“Awal lagi, nak minta maaf bagai Wan hoi. Sembahyang raya pun belum lagi ni. Nanti, nantilah kamu datang rumah nenek beraya. Sambil-sambil tu nak minta maaf ke, nak minta duit raya ke, atau nak minta Farisha ni pun nenek bagi.” Tiba-tiba Wan Mariani bersuara. Tak pasti bila masa pula orang tua itu berada di situ. Baik Farisha atau Faliq, masing-masing tak perasan derap kaki yang melangkah ke arah mereka.

Faliq Zaquan terkebil-kebil. Bila masa aku minta maaf dekat Nek Ani? Perasan betul! Dah lah kacau daun. Tapi ayat Nek Ani yang last tu memang dia suka. Kalau minta Farisha pun dia akan dapat ke? Boleh pula dia tersenyum sendiri. Nampak macam kerang busuk!

“Sha, jom kita balik. Dah lambat ni. Nak ke masjid pula lepas ni. Hah, Wan, nanti datang rumah nenek, ya. Kalau betul kamu nak Farisha ni, bawa nenek kamu sekali. Boleh kami buat bincang.” Selamba Wan Mariani bersuara, sambil mendahului Farisha melangkah kembali ke rumahnya.

Farisha hanya membuntuti Wan Mariani. Ucap maaf dari Faliq tidak berbalas. Neneknya pula seolah-olah memberi satu petunjuk kepadanya. Apakah, Wan Mariani ada plan nak jodohkan dia dengan Faliq Zaquan?

******

Hari sudah menjengah ke tengah. Matahari terpacak di atas kepala. Tinggal beberapa jam sahaja lagi 1 Syawal akan berlalu pergi. Kemudian tahun depannya pula akan kembali. Siapa yang dipanjangkan usia bolehlah bertemu lagi. Farisha sedang duduk bersantai di ruang tamu. Bersantai di situ sambil mulut mengunyah Shortbread. Biskut raya kegemarannya. Di tangannya ada majalah Media Hiburan Edisi Bumper Raya. Bukan cerita atau gosip yang dihidangkan itu yang menarik minatnya. Sebaliknya mata Farisha lebih tertumpu pada gambar-gambar yang disajikan. Pelbagai fesyen pakaian yang diperagakan oleh para selebriti sempena musim lebaran ini. Ada yang kelihatan sopan ada juga yang nampak seksa.

Pantas ingatan Farisha menerpa pada inti pati khutbah yang disampaikan oleh khatib usai solat sunat Aidilfitri pagi tadi. Memang seronok mendengar khatib itu berkhutbah. Lantang suaranya. Langsung tak menunduk membaca teks. Sebaliknya mata khatib muda itu mengitari jemaah. Farisha memang tidak melihat secara langsung. Tetapi ada skrin yang diletakkan di bahagian solat kaum wanita. Isi khutbah, antara lain menyebut tentang golongan wanita di pagi raya. Bagaimana sikap sesetengah kaum hawa yang ghairah memakai perhiasan yang melampau, mengenakan busana dengan fesyen yang tidak menutup aurat dalam erti kata yang sebenarnya dan yang lebih menyedihkan adalah bertudung tetapi hakikatnya seperti tidak!

Pantas Farisha beristighfar di dalam hati. Tak susah nak cari pahala tetapi bukan payah juga untuk mencipta dosa.  Farisha akui dia memang mengikut perkembangan semasa. Ikuti fesyen terkini. Tetapi biarpun dia menjaga penampilan. Farisha masih lagi mengikut garis panduan yang disyariatkan. Misalnya, tak pernah dalam sejarah hidupnya membeli sanggul palsu dan diletakkan di kepala. Nak buat apa? Ingat lawa sangat ke bonggol unta seketul atas kepala? Serupa benjol akibat dihentam dengan kayu hoki saja!

Tiba-tiba tumpuan Farisha membelek majalah sedikit terganggu. Ada suara yang memberi salam. Dan sedikit riuh suasana di ruang tamu utama. Entah siapa yang datang dia tidak tahu. Yang pasti suara mamanya, Datin Khalidah bukan main kuat kedengaran. Mungkin kawan lama  yang lama tak jumpa rasanya. Maklumlah, bukan selalu mamanya dapat balik ke kampung. Tidak mahu berterusan berteka-teki, Farisha mahu menyelidik gerangan siapakah yang bertandang ke rumah Wan Mariani pada waktu tengah hari sebegitu. Pandai cari masa.  Waktu baik punya untuk balun makan tengah hari!

Perlahan-lahan, Farisha mengendap ruang tamu utama. Ada kain tirai yang memisahkan ruang tamu utama dengan ruang tamu kedua yang sedang Farisha berada sekarang. Baru dia singkap tirai itu sedikit untuk melihat tetamu yang datang, ada suara yang sudah menegur perbuatannya.

“Tak perlu nak jadi pencuri dalam rumah sendiri Sha. Mari saja dekat sini. Yang terhendap-hendap tu kenapa? Suara Mak Ngah Faridah mula kedengaran.

Semua mata yang ada di dalam ruang tamu utama itu melihat bayangan seseorang di sebalik tirai yang memisahkan ruang itu dengan ruang tamu kedua. Farisha mula menampakkan diri.  Mak Ngah Faridah tersenyum sinis. Ini mesti tak puas hati dengan Farisha sebab kes malam tadi. Tak apa, ada ubi ada bas, ada masa nanti Sha balas. Farisha berbicara menggunakan ekspresi muka kepada Mak Ngah Faridah. Ketika itu bagi Farisha, tindakan Mak Ngah Faridah memanggilnya itulah yang nampak besar kerana telah mendedahkan perbuatannya yang sedang mengintip. Walhal dia tak nampak apa-apapun. Baru nak mula sebenarnya. Lantaran itu tetamu yang ada seolah-olah tidak wujud  di hadapan matanya.

“Farisha!” Melantun suara seorang wanita memanggil.

Bukan Mak Ngah Faridah. Dan bukan juga Datin Khalidah. Apatah lagi Wan Mariani yang tiada bersama mereka pada ketika itu. Jadi suara siapakah itu? Farisha melihat empunya jasad yang bersuara memanggil namanya itu. Terkejut dia!

“Datin?” Nada suara Farisha seolah-olah mahu bertanyakan bagaimana Datin Maizurah boleh ada di situ.

Bukan Datin Maizurah sahaja yang berada di situ, tetapi anak bujangnya turut sama.

“Assalamualaikum, Farisha. Lama tak jumpa.” Suara jejaka itu kedengaran macho.

Farisha menjeling. Faisal Fathuddin. Dia pun ada sama? Macam mana mereka tahu rumah nenek. Apa pula hubungan mereka dengan mama?

******

Datin Maizurah rancak berbual bersama Datin Khalidah di ruang tamu utama. Mak Ngah Faridah turut menyibuk di situ. Farisha pula menemani Faisal di meja makan. Datin Maizurah menolak untuk menikmati hidangan dengan alasan perutnya masih penuh. Di meja makan, Farisha menyendukkan nasi tomato ke dalam sebuah pinggan yang kosong. Faisal yang duduk di hujung meja memerhatikan tingkah Farisha. Cara Farisha menyendukkan nasi ke dalam pinggan pun nampak menarik pada pandangannya.

Lauk-pauk yang tersedia di atas meja makan pada ketika itu agak banyak. Rendang ayam, daging masak hitam, sambal merah udang galah, ayam goreng berempah, sotong goreng tepung, kurma ketam, sayur campur masak lemak, dan jelatah. Takkanlah dia mahu letak semua lauk itu setiap satu ke dalam pinggan itu. Karang tak fasal-fasal meragam perut si Faisal. Nak letak ikut suka, Farisha tidak tahu yang mana satu Faisal suka. Jadi lebih baik tanya sahaja.

“Fai, You nak lauk mana satu?” Tanya Farisha.

Alamak! Sejak bila Faisal sekadar disebut Fai oleh bibir Farisha? Ada sesuatu yang dah ketinggalan ke?

Sebenarnya sejak kejadian Farisha hampir kemalangan dan Faisal menolongnya tempoh hari, hubungan kedua-dua mereka sudah terjalin dengan agak baik. Walaupun jarang berjumpa, tetapi kerap juga mereka berbual di telefon. Panggilan Fai pula mula digunakan oleh Farisha atas permintaan lelaki itu sendiri. Dan katanya, hanya Farisha seorang sahaja yang dibenarkan memanggilnya dengan nama panggilan itu. Entah kenapa, Farisha pun tidak tahu. Yang pasti Farisha senang dengan panggilan Fai itu dan Faisal juga nampak bahagia mendengarnya daripada seulas bibir milik Farisha. Masakan tidak? Tiap kali suara Farisha menyebut perkataan Fai mengetuk gegendang telinganya, pasti akan terukir senyum spontan di bibir lelaki itu. Tak tahulah apa yang dia suka sangat! Angau kot!

“You letak ayam goreng seketul dengan udang seekor. Campur kuah sikit dengan jelatah.” Pinta Faisal.

“Itu aja? Yang lain tak mahu?” Farisha bertanya lagi mahukan kepastian.

“Cukuplah yang itu dulu. Nanti kalau nak lagi I ambil lain. Ataupun I minta aja, You kan ada, boleh sendukkan.” Balas Faisal.

Farisha pantas menyendukkan lauk yang diminta oleh Faisal. Pinggan yang sudah sarat dan berwarna-warni itu diserahkan kepada Faisal. Air basuh tangan pula didekatkan dengan lelaki itu. Faisal sopan membersihkan jemari tangan kanannya dan mula menjamah. Farisha sekadar memerhati. Sopan betul lelaki ini menjamah makanan. Jarang dia berjumpa lelaki yang menjaga adab ketika makan. Kata orang kadang kala perangai sebenar akan bocor di meja makan, apatah lagi bila berjumpa dengan aneka makanan seperti ini. Tetapi lain pula dengan Faisal. Dia tak nampak macam orang yang tak bernafsu dengan semua makanan ni tetapi dalam masa yang sama reaksinya juga langsung tak nampak gelojoh. Memang itu sikapnya atau sekadar mahu control macho, itu Farisha tidak tahu. Takkan nak tanya Faisal pula! Tak ke gila namanya tu!

“Ehem!” Ada suara orang berdeham. Tiba-tiba saja kedengaran di ruang makan itu. Tentu sekali bukan milik Faisal. Sebabnya lelaki itu masih tekun menyuapkan makanan ke dalam mulut.

Farisha berkalih. Dan dia melihat ada satu figura di situ. Bila pula dia ni sampai? Agak-agak, dia nampak tak, aku tenung Faisal makan tadi! Erk, jangan dia sembur aku perempuan desperate sudah! Hati Farisha sudah mula bersoal jawab!

“Sha, ni hah nenek baru balik dari rumah Rahimah. Sembang lama dengan dia sampai ralit pula. Nak balik ini, nenek ajaklah Wan singgah rumah kita. Rahimah nak datang tadi, tiba-tiba ada orang singgah pula. Tu yang Wan datang dengan nenek dulu. Ni, kamu layan Wan makan, ya. Nenek nak ke depan sekejap.” Wan Mariani pula mencelah tiba-tiba. Usai berkata-kata, dia berlalu dari ruang makan itu.

Tinggallah Faliq Zaquan di situ. Berdiri termangu-mangu. Tak tahu sebab apa. Tiba-tiba dia rasa kekok. Padahal, tadi bukan semangat lagi nak jumpa Farisha.

“Awak, buat apa berdiri dekat situ. Marilah, makan.” Ajak Farisha. Sambil itu, tangannya sudah mula ligat mengambil pinggan kosong dan diisikan dengan nasi tomato.

Faliq duduk di hujung kepala meja makan sebelah satu lagi. Maksudnya, posisi Faliq di meja makan itu bertentangan dengan Faisal. Farisha pula di tengah-tengah sisi meja makan. Sama seperti tadi, Farisha bertanyakan kepada Faliq lauk apa yang diinginkannya. Usai mendapat jawapan, pinggan yang berisi nasi dan lauk pauk itu diserahkan kepada Faliq. Kalau tadi, Faisal meminta ayam, udang dan jelatah. Faliq pula dengan menu daging, sotong dan sayur campur. Nampak sangat selera dua orang lelaki ini berlainan.

Farisha duduk sahaja di situ. Tidak makan. Alasannya sudah kenyang. Padahal dia malas control ayu makan perlahan-lahan di hadapan dua orang jejaka terhangat di pasaran itu. Ceh, terhangat di pasaran konon! Entah-entah hangat di dalam hati dia sahaja!

“Aik, kenapa yang diam semacam ni? Tak macam dekat meja makan rupanya. Serupa dekat medan perang la pula!” Tiba-tiba saja Wan Mariani bersuara. Tak tahu, bilanya dia sampai. Kerusi bertentangan dengan Farisha ditarik. Wan Mariani duduk di situ. Macam ada yang tak kena sahaja. Fikir hati Wan Mariani.

“Hah, Faisal tambahlah nasi lagi.” Semawa Wan Mariani.

“Tak apa nek. Yang ni pun tak habis lagi.” Jawab Faisal sopan.

Wan Mariani melihat pinggan Faliq pula.

“Wan, tak makan udang ke? Penat Farisha masak udang galah tu.

“You ke yang masak udang ni?” Tanya Faisal kepada Farisha.

Farisha sekadar mengangguk.

“Patutlah sedap. Isi udang ni manis aja. Macam tuan punya orang yang masak!” Selamba saja kata-kata itu meluncur daripada bibir Faisal.

Farisha senyum. Tetapi senyumannya macam tak kena saja. Mendengar kata-kata seperti itu di hadapan Wan Mariani, macam salah masuk scene.

Mendengar kata-kata lelaki yang bernama Faisal di hadapannya, Faliq juga tidak mahu ketinggalan daripada menjamah udang galah itu.

“Sha, ambilkan saya udang tu. Nak rasa juga. Ada orang cakap manis macam awak. Kira kalau makan udang ni, macam dapat makan awak sekali la, kan?” Faliq lagilah selamba. Bercakap ayat yang double meaning. Terbatuk-batuk Farisha dibuatnya.

“Nah! Wan Mariani meletakkan seekor udang galah ke dalam pinggan Faliq. Yang kamu ni Wan nak melawak ke apa? Sampai nak kata makan udang ni serupa makan cucu nenek ni. Dah terbatuk-batuk dibuatnya budak tu. Nak makan dia, masuk meminang ajalah!” Wan Mariani lagilah sempoi.

Oh My Ferrari! Faisal pula yang dah tersedak di hujung sana. Faliq ni bakal suami Farisha ke? Melepaslah aku! Tak boleh jadi ni. Aku tak boleh mengalah. Sha bukan ada apa-apa ikatan pun dengan lelaki itu.

“Nek, Farisha ni tak ada special boyfiend ke?” Tanya Faisal tiba-tiba.

Terkejut pula Farisha mendengar. Faisal yang sopan itu tiba-tiba terlebih ramah dan bertanya soalan cepumas pula.

“Tak ada. Itu yang membujang lagi tu. Hah, kamu tak suka ke dekat Sha ni. Kata mama kamu tadi, selalu juga kamu telefon si Sha ni? Tak ada apa-apa lagi ke? Tak ada rasa dup dap, dup dap dalam hati? Tanya Wan Mariani. Dan sebetulnya soalan itu ditujukan kepada Faisal. Tetapi jawapan yang diterima agak memeranjatkan!

“Ada, nek!” Dua suara melantun sekali harung. Sama nada. Sama rentak. Sama tinggi. Suara itu empunya Faisal dan Faliq. Farisha sudah rasa semacam. Meja makan ni kenapa dah tak serupa nama asal dia? Dah berubah jadi meja cari menantu ke?

“Apa yang ada?” Tanya Wan Mariani. Buat-buat tak tahu. Padahal dia dah boleh baca apa yang ada dalam hati kedua-dua orang jejaka itu. Orang terlebih dulu makan garam. Masakan tak boleh nak teka apa yang ada dalam hati anak muda yang tengah gila bayang. Tengok muka pun Wan Mariani dah tahu.

“Dalam hati ada taman!” Sekali lagi Faisal dan Faliq bersuara serentak dengan dialog yang sama. Hafal skrip sebelum datang beraya dekat sini ke apa? Tebak akal Farisha. Apapun dia diam saja. Mahu tengok sejauh mana perbualan itu akan berlangsung antara dua orang lelaki itu dengan neneknya.

“Macam-macamlah kamu berdua ni. Dah makan dulu. Nanti kita berbual kemudian. Karang tercekik pula. Nanti Farisha juga yang susah. Nenek nak ke depan dulu. Makan banyak-banyak, ya. Jangan malu-malu!” Selesai berkata, Wan Mariani tinggalkan ruang makan itu.

Tinggallah Faisal, Farisha dan Faliq. Tidak ada suara antara mereka. Yang berbicara hanyalah mata. Faliq memandang Farisha dengan penuh pengharapan. Faisal merenung Farisha dengan hasrat yang tersimpan. Farisha boleh merasakan apa yang tersimpan di dalam hati kedua-dua orang lelaki itu. Dia juga senang berdampingan dengan mereka. Baik Faisal dan Faliq, kedua-duanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Yang pasti kedua-duanya kelihatan sexy di mata hati Farisha. Dan dia bingung siapa antara keduanya yang menduduki takhta paling atas di dalam hatinya!

Ah, kacau betul! Kalau dulu, tak ada pula lelaki yang datang mengurat dia. Sekarang dah ada. Tetapi bukan satu! Sebaliknya dua! Nak pilih yang mana satu ni? Kalau nak dua-dua sekali boleh tak? Sayanglah nak lepaskan satu! Amboi, Farisha bukan tamak lagi kau, ya! Ingat, orang perempuan ada kuota macam orang lelaki ke, boleh pasang sampai empat! Aduhai, nak pilih mana satu ni? Hati Farisha terus berteka-teki. Dilema betul keadaannya sekarang ni.


Dalam pada tak tahu kepada siapa hatinya lebih memberat. Farisha juga tak sampai hati untuk melukakan hati salah seorang daripadanya. Senang cerita tak payah pilih mana-manalah! Eh, gila ke apa! Nak lepaskan jodoh macam tu aja. Habis tu nak jadi apa? Nak tempah tiket jadi andalusia ke? Nak buat macam mana, erk? Hah, apa kata anda yang tolong pilihkan. Tolonglah, Sha. Please! Tolong suggest dekat Sha, boleh? Antara Faisal Fathuddin dan Faliq Zaquan, yang mana satu harus dipilih oleh Farisha? Dua-dua my sexy abang, tapi yang mana satu terlebih seksi? Faisal Fathuddin atau Faliq Zaquan? Tolong, Sha pilih erk!


[Tamat]

8 Komentar

Write Komentar
4/9/13 11:00 PTG delete

Terima kasih banyak2 atas sokongan kpd mrk yg ikuti kisah ni. Muz terpaksa buat ending mcm ni sebab crita ni makin panjang, padahal asalnya nk buat cerpen ja. Kalau ada request banyak (perasan plk kan?) mungkin akn ada My Sexy Abang 2 pulak kan, mana tahu? Hehe...

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
11/11/13 6:50 PTG delete

Muz.. if not mistken dlm Novel Melayu Kreatif ada another guy kan? Sambung le sampai Sha buat pilihan.. there are few typos tp its ok.. like the way you write...

Reply
avatar
11/11/13 10:18 PTG delete

@Tanpa Nama A'ah, dlm NMK, saja Muz edit ending mcm lain sikit. Bab nak sambung tu, mgkin tdk kot, sbb dlm prncngan utk new story...

Reply
avatar
fara
AUTHOR
28/11/13 4:52 PG delete

Td suh readers tlg Sha pilih...pastu ckp x de plan nak continue...awk seriously nak kne debik ke???? Bt ar S.E 1 bab...nak gak tau sape pilihan Sha n klu boleh Sha kawen lebih awal de Si Nadia Sengal tuh!

Reply
avatar
28/11/13 1:19 PTG delete

@fara Hehe, tak mo marah2, nanti cpt kedut:P Okay, idea yg baik... Thnaks for comment fara!

Reply
avatar
1/12/13 1:19 PG delete

Orite guys, Muz dah buat special edition sekuel My Sexy Abang dengan judul Suamiku Abang Sexy! Enjoy, ya. Dan terlerai sudah siapa sebenarnya yang akn jadi husband Farisha!

http://engkumuzahadin.blogspot.com/2013/11/cerpen-suamiku-abang-sexy.html

Reply
avatar
fara
AUTHOR
19/4/14 2:38 PTG delete

Encik Penulis, thanks for the SE...dh byk kali sy baca dan baru ini sy nak tulis sesuatu.
puas ati sgt2 tau...thank you. And so sorry for wanting to "debik" you...ha ha ha...main main je la. Mana la sy nak cari awk semata mata nak pukul awk. Waktu tu cuma geram je...peace

Reply
avatar
20/4/14 8:08 PTG delete

@fara Hahaha, sy tak ambik hati pon lah. Btw, thanks fara for reading my contengan tak seberapa ni... Keep reading if ada cerita baru yg sy merepek lg dkt blog okay ;)

Reply
avatar