Jumaat, Ogos 30, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 8


Lauk-pauk sudah tersedia di atas meja makan di ruang khas santapan di dalam rumah kampung itu. Farisha hanya berbaju kurung kedah dan bersarungkan kain batik. Pakaian normal kebanyakan wanita di kampung ketika berada di dalam rumah.  Agak banyak juga hidangan yang tersedia. Nasi tomato, ayam masak kicap, daging goreng berlada, sayur buncis goreng telur sudah cukup membuatkan Farisha kecur liur.  Tambah pula tersedia juga kuih-muih tradisional. Kuih lopes yang berwarna hijau asli bersalut kelapa parut itu seolah-olah sedang menari-nari di hadapan mata Farisha. Hasil tangan neneknya tidak pernah mengecewakan.

Azan berkumandang dari surau berdekatan. Maka, Abang Mirul pun menadah tangan membaca doa berbuka puasa dan doa makan. Farisha, Maisarah dan Wan Mariani menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca. Tidak ada kanak-kanak di dalam rumah itu. Biarpun Amirul dan Maisarah sudah beberapa tahun mendirikan rumah tangga, namun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Usai doa dibacakan, masing-masing melanggar pantang makan dan minum sejak waktu imsak pagi tadi dengan buah tamar. Pelbagai jenis buah tamar yang terdapat di pasaran membuatkan pengguna mempunyai pilihan yang lebih luas.  Sama ada Mariami, Ajwah, Mozafati, Halawi atau Umelkhashab, semuanya ada dijual di pasaran. Terpulang kepada pengguna yang mana satu berkenan di hati.

******

Usai solat Maghrib yang diimamkan oleh Amirul, Wan Mariani mula mengambil peranan. Menjadi tradisi di dalam rumah itu untuk memberikan sedikit tazkirah selesai solat Maghrib pada setiap hari. Pelbagai topik dikupas. Bermacam-macam isu disentuh. Daripada yang berat dan rumit sehinggalah kepada yang ringan dan remeh. Yang penting adalah adanya sedikit pesanan yang disampaikan. Itulah pesanan arwah suami kepadanya dan Wan Mariani akan berpegang teguh kepada pesanan itu selagi nyawa dikandung badan. Lagipun berpesan-pesan kepada kebaikan ini bukankah satu amalan yang mulia?

“Alhamdulillah, malam ini kita dapat solat Maghrib sama-sama. Buka puasa tadi pun rasa meriah sikit sebab ada Sha. Kalau tak kita bertiga saja kan? Esok, InsyaAllah, datanglah yang lain-lain pula.” Wan Mariani memulakan mukadimah. Amirul, Maisarah dan Farisha sekadar mendengar sahaja.

“Bila sebut fasal ahli keluarga ni, teringat pula nenek masa muda-muda dulu. Awal dulu masa ayah nenek suruh kahwin dengan datuk kamu, nenek tak hendak. Bukannya apa, waktu tu umur nenek muda sangat. Rasa macam tak sempat buat apa-apa tapi dah kena kahwin. Tapi ayah nenek nasihat, kahwin ni bukan penamat bagi kehidupan seseorang tetapi sebenarnya adalah satu permulaan yang baru.” Wan Mariani menyambung bicaranya. Matanya memandang Amirul. Amirul mengangguk sambil melihat Maisarah.

“Betul tu nek. Kahwin ni best apa? Rugi kalau kahwin lambat. Bila kita dah kahwin ni ada orang yang nak jaga makan pakai kita. Tanya khabar kita. Tak adalah hidup seorang diri tak tentu hala.” Amirul pula menokok.

Farisha yang mendengar rasa macam panas punggung tiba-tiba. Sudahlah neneknya membuka cerita bab kahwin. Abang Mirul pula macam nak sindir-sindir dia. Ini yang buat dia tak suka. Nak saja bangun dan lari masuk bilik. Tapi nampak sangat pula yang aku terasa. Buat biasa-biasa sajalah. Bukan ada sebut nama Farisha pun kan. Mungkin pesanan secara umum saja kot.

“Kahwin awal ni bukannya apa. Satu memanglah niatnya untuk cari pasangan. Keduanya, tentu sekali sebab nak elakkan maksiat. Dan yang ketiganya pula sebab nak ramaikan umat Muhammad. Tapi kena ingat juga, tak semestinya kahwin saja terus boleh dapat anak. Itu semua rezeki kurniaan Allah. Cepat atau lambat semua tu ada hikmah.” Sambung Wan Mariani lagi. Kali ini Farisha mengintai Maisarah sekilas. Maisarah hanya menunduk. Soal anak bagi mereka yang sudah berkahwin tetapi masih belum perolehnya memang agak sensitif untuk dibincangkan.

“Tetapi ada juga yang dah kahwin pun tetap buat maksiat. Dah ada bini dekat rumah dicarinya perempuan lain dekat luar. Kalau yang diusiknya anak dara tak apalah juga. Ini janda orang pun dia nak kacau juga.” Sambung Wan Mariani.

Terbatuk pula Amirul mendengar perkataan janda. Sudahlah dua tiga menjak ni, ada gosip panas sedang menular di Kampung Pondok Upeh. Katanya, Cik Leha, janda beranak tujuh yang turut sama membantu Amirul di ladang kambing yang baru dibukanya itu mempunyai hubungan dengan Amirul. Entah macam mana gosip itu tersebar pun Amirul tidak tahu. Takkanlah dia nak curang. Padahal baru sangat dia kahwin dengan Maisarah. Kalau ya pun dia nak madukan isterinya, takkanlah dia nak cari janda beranak tujuh. Tak masuk akal betul gosip ini. Tak bertauliah sungguh. Itulah, lain kali kalau nak bergosip pergi belajar dengan wartawan Melodi ke, MeleTOP ke, Galaksi ke, barulah nampak real sikit.

“Hah, Farisha! Kamu ni bila nak kahwin?” Tanya Wan Mariani tiba-tiba.

Aik, nenek nak bertazkirah ke atau nak basuh kepala aku fasal bab kahwin ni. Yang aku dengar tadi pengisiannya hanya tentang kahwin awal. Kemudian dah lari tajuk. Kalau buat karangan, mesti boleh fail ni. Tajuk lain, isinya lain. Sempat lagi Farisha mengutuk dalam hati.

“Kalau ada jodoh nanti, Sha kahwinlah nek.” Balas Farisha pendek.

“Jodoh itu kena cari Farisha. Tak boleh kamu nak tunggu dia datang saja. Ini umur kamu dah nak berapa. Datang Syawal nanti dah berapa umur kamu? Cuba beritahu nenek.” Wan Mariani sudah mula menampakkan ciri-ciri watak diktator. Apapun dicakap oleh Farisha nanti pasti akan dibidasnya. Sabarlah Farisha!

“Nak masuk 30, nek.” Balas Farisha perlahan. Kepalanya hanya tunduk sahaja. Bagi Farisha umur itu suatu angka sahaja. Dan dia tidak tahu kenapa, angka usia selalu sahaja dipersoal dan didebatkan. Salahkah kalau dia bakal menginjak ke usia 30 pada 1 Syawal ini. Takkanlah dia mahu tahan masa, tak mahu bagi waktu berjalan. Biar umur dia kekal 29! Nak buat macam tu ke? Gila!

“Apa dia? 40? Nenek tak berapa nak dengar!” Boleh pula Wan Mariani nak berkomedi. Tak kena tempat dan gayalah nenek!

“Tiga puluh lah nenek. Tiga puluh tahun!” Tekan Farisha. Suaranya ditinggikan sedikit. Tapi tak adalah sampai tahap pitching korus lagu Madah Berhelah. Karang pengsan pula Wan Mariani. Tak berayalah jawabnya mereka tahun ini!

“Hah, dengar pun. Kamu tahu tak apa maksud tiga puluh? Tiga puluh maksudnya, dah nak masuk dalam senarai andalusia. Anak dara lanjut usia!” Bebel Wan Mariani. Dalam banyak-banyak cucunya, terutama yang perempuan, tak adalah yang payah nak dapat jodoh. Bila sampai ke Farisha tersangkut pula. Nak kata tak lawa, manis. Siapa kata tak cantik, julinglah tu. Farisha ini kalau keluar rumah bergayanya bukan main. Tetapi kenapa tak ada lelaki yang sangkut. Dah banyak spesies yang suka sama jenis ke? Ish, mintak simpang empat puluh empat malaikat.

“Dah tu nek, takkanlah saya nak promote diri dekat lelaki-lelaki dekat luar sana kot. Nak suruh perigi cari timba? Buat malulah nek. Lagipun, kalau tak kahwin sekalipun tak ada masalah. Bukannya, Sha tak boleh hidup. Ada suami pun, ramai juga yang makan hati berulam jantung.” Farisha membentangkan buah fikirannya. Sempat lagi dia menekan suaranya bila sampai perkataan suami sambil menjeling Amirul.

“Habis tu, kalau tak ada yang risik kamu, maknanya, nak membujang sampai ke tua ke? Farisha, soal kahwin ni bukan main-main tau! Kalau lelaki nenek tak kisah. Ini kamu, perempuan. Selama mana kamu nak hidup seorang diri? Sampai bila kamu nak bertahan. Kita ni dijadikan daripada tulang rusuk orang lelaki, Farisha. Nak tak nak memang kita tak boleh lari daripada memerlukan seorang suami sebagai pelindung. Kamu  ingat selamanya boleh hidup seorang diri?” Bebel Wan Mariani.

“Dah la tu nek. Sha tak mahu bincangkan hal ni lagi. Sha, malas! Nanti kalau dah sampai seru tu, adalah nanti.” Farisha sudah malas. Dia mahu menoktahkan perbincangan itu. Sekilas dia pandang Amirul. Amirul sekadar mengangkat bahu. Maisarah juga diam. Nampaknya pasangan suami isteri ini tidak mahu campur tangan. Farisha seorang juga yang terpaksa membela diri.

“Nak sampai mananya seru, kalau kamu dah sumbat telinga dengan kapas! Dah, nenek pun malas nak cakap banyak-banyak dengan kamu. Kepala batu. Mak dia carikan jodoh dia tolak. Bapa dia kenalkan dengan orang baik-baik, dia reject. Esok nenek ada jemput seorang ini. Cucu kesayangan kawan baik nenek. Adalah sekali dua dia jenguk nenek dekat sini bila balik kampung. Baik budaknya. Nenek pun suka. Nenek dah bagi tahu kawan nenek suruh jemput dia buka puasa dekat rumah ini esok. Apa yang nenek nak, kamu cuba berkenalan dengan dia. Layan dia elok-elok.” Jelas Wan Mariani. Rupanya bab jodoh yang dibangkitkan pada hari ini ada kaitan dengan agenda hari esok!

“Apa ni, nek? Tak mahulah paksa-paksa orang...”Farisha tidak bersetuju. Tetapi belum pun habis bercakap, patah katanya dibidas pantas.

“Nenek tak mahu dengar apa-apa lagi dah. Yang nenek tahu esok kamu layan dia elok-elok. Kalau nenek nampak atau dengar yang kamu buat bukan-bukan, siap kamu. Tak berayalah kamu tahun ni! Dah, jangan buat muka. Nak masuk waktu Isyak pun, pergi ambil wudhuk, kita pergi surau! Arahan balu kepada seorang pegawai tentera. Tegasnya tetap ada. Farisha tidak punya pilihan. Akur walau terpaksa. Boleh tak kalau dia tak mahu siang esok menjelang?

******

Hari ini puasa yang ke-29. Malam ini penyimpan mohor besar diraja akan membuat pengisytiharan tarikh 1 Syawal bersamaan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ramai yang ingat penyimpan mohor besar diraja ini tak ada kerja lain selain umum tarikh nak raya. Takkanlah setahun dua kali saja kerja kan. Sebenarnya banyak lagi peranan penyimpan mohor besar diraja ni. Kalau nak tahu kenalah belek-belek buku-buku yang berkaitan. Ataupun kalau dah malas sangat google sudah!

Farisha duduk di bawah pohon rambutan. Ada pangkin yang tersedia di situ. Saja dia mengasingkan diri daripada keriuhan di dalam rumah neneknya itu. Mama dan papa sudah sampai ke kampung bersama adik-beradik yang lain. Abang Long Farisha, tahun ini giliran berayanya di kampung sebelah isteri, jadi tak dapat turut serta. Adiknya yang beza dua tahun umur dengan dirinya tak pulang beraya jug pada tahun ini kerana ada exam penting sebaik saja habis lebaran. Alamatnya adiknya beraya di perantauanlah tahun ini. Abang Ngahnya ada bersama adik bongsunya di belakang rumah sana, entah apa yang dibuatnya Farisha tidak tahu.

Selain keluarganya, sanak-saudara Farisha juga sudah memenuhi rumah Wan Mariani. Datin Khalidah tidak mempunyai adik-beradik yang ramai. Empat orang sahaja anak-anak Wan Mariani itu. Nak buat macam mana datuknya meninggal ketika usia muda, tak dapatlah nak meramaikan umat manusia dekat muka bumi ini. Tambah pula, anak sulung Wan Mariani dan menantunya, iaitu emak dan ayah Amirul meninggal dalam kemalangan jalan raya lama dulu. Makanya, yang tinggal hanyalah tiga orang anak Wan Mariani, iaitu Khusairi, Kamal dan Khalidah bersama keluarga masing-masing.  Walaupun nampak macam sedikit, tetapi bila dicampur dengan menantu dan cucu serta cicitnya, meriahlah juga rumah Wan Mariani untuk lebaran tahun ini. Tak adalah sunyi sepi macam rumah orang yang baru mati!

Biarpun suara kanak-kanak berlari riang di sekitar halaman rumah Wan Mariani kedengaran bising dan celoteh kaum hawa yang rancak dari beranda kedengaran kecoh tetapi di dalam hati Farisha tetap berlagu sendu. Pagi tadi sampai sahaja, ibu saudaranya, iaitu isteri kepada Pak Ngah Kamal, terus sembur Farisha dengan soalan cepumas. Apa lagi? Tentang urusan jodohnya dan soal kahwin. Rimas Farisha dibuatnya. Sudahlah mulut Mak Ngah Faridah itu laser sikit. Sakit juga hati Farisha dibuatnya dengan kata-kata yang pedas. Mujur ada Abang Mirul yang sanggup jadi penyelamat. Sempat lagi Abang Mirul cakap, kalau tak laku sangat biar jadi bini nombor dua dia! Ish, tak naklah. Apa kes nak kahwin sesama sepupu? Memanglah tak haram, tapi tak berapa baik kan? Plus, nak bermadu pula, lebih baik dia jadi andartu!

Farisha masih tidak tenang. Pelbagai persoalan mengasak di jiwa. Kata-kata neneknya pada malam semalam. Bicara Mak Ngah Faridah yang agak pedas. Dan gurau Abang Mirul yang agak over. Tak laku sangat ke aku ni? Farisha bertanya kepada hatinya sendiri. Sedih kerana masih menyendiri itu tak seberapa berbanding dengan ralat dengan soalan dan tohmahan orang sekeliling tentang soal jodohnya. Seharusnya orang sekeliling terutamanya keluarga dan sanak-saudara perlu memberikan sokongan dan semangat juga nasihat. Ini tidak! Mereka yang sepatutnya menyokong bertukar jadi machine gun! Tak habis-habis nak melontarkan peluru dari mulut mereka.

Tambah buat Farisha geram ialah gelagat Nadia, anak dara Mak Ngah Faridah tu. Baru umur 25, dah bertunang. Katanya tahun depan nikah. Bukan main sedap mulut dia mengata Farisha. Tak lakulah. Pencen lah. Kesian lah, Siap tayang gambar tunang dia lagi. Tolonglah, gambar tunang yang muka tak sama satu peratus macam Aaron Aziz itu pun dicanangnya dengan ayat ‘tunang aku lagi handsome dari Aaron Aziz wei, sila jangan jelous!’ Nak termuntah Farisha dengar. Mujur bulan puasa. Kalau tak memang sengaja Farisha nak muntah hijau atas kepala si Nadia senget tu. Dia ingat aku ni desperate sangat kah tak ada boyfriend atau husband!

Sedang mengelamun dengan bersalut rasa tidak puas hati kepada Nadia dan Mak Ngah Faridah, tiba-tiba ada bunyi derap kaki berjalan. Seorang lelaki sedang melangkah perlahan menuju ke arah anak-anak kecil  yang sedang bermain di hadapan rumah Wan Mariani yang luas lamannya itu.  Asalnya. Farisha ingatkan mungkin Abang Ngahnya. Tetapi suara itu kedengaran lain. Nak kata sepupu lelakinya, tak logik pula, sebab baru sekejap tadi kesemua sepupu lelakinya bersama adik bongsunya keluar mencari buluh untuk dibakar lemang. Cuma Abang Ngahnya sahaja yang tak ikut, sebab tak berapa sihat. Habis itu lelaki ini siapa? Penculik kanak-kanak ke? Boleh jadi. Sekarang ini rupa penculik bukan macam alien dah, muka penyangak zaman moden ni kalah muka Tom Cruise, tetapi perangai saja hancur-lebur. Tak boleh jadi ni. Farisha kena bertindak!

Beranda rumah Wan Mariani, dilihat sekilas dari pangkin pohon rambutan. Farisha sudah tak nampak geng-geng perempuan duduk anyam ketupat. Sudah habis mungkin kerja itu. Dalam kalut mengelamun dia tak sedar apa yang berlaku di sekitarnya. Lihat-lihat saja ada lelaki asing dalam kalangan si kembar Amar dan Amir milik sepupunya Zarina yang sedang bermain itu. Farisha cuba amati susuk tubuh lelaki itu. Macam kenal tetapi tidak jelas. Dalam hati Farisha sudah ada prasangka yang bukan-bukan. Jika mahu menjerit meminta tolong sesiapa, pasti lelaki yang difikirkannya sebagai penculik itu akan melarikan diri. Yang Farisha tahu dia perlu bertindak.

Dengan perlahan-lahan, Farisha menghampiri lelaki itu yang sedang menghendap Amar dan Amir yang sedang bermain guli itu. Farisha memerhatikan kawasan sekeliling. Tidak ada apa-apa benda yang dapat membantu seperti batang kayu yang berada berdekatan. Dia perlu meminimumkan pergerakan supaya lelaki itu tidak tahu akan kehadirannya. Jadi Farisha memutuskan untuk memeluk lelaki itu dari belakang sebelum menjatuhkannya ke tanah. Sambil itu dia akan menjerit meminta tolong.  Idea yang brilliant! Fikir Farisha sendiri.

Langkahnya semakin mendekati lelaki itu. Sudah tinggal beberapa jengkal saja lagi sebelum Farisha bertindak. Tiba-tiba, Amar bersuara.

“Eh, Kak Sha nak buat apa tu?”

Farisha kaget. Lelaki itu mahu berpaling. Sedangkan tangan Farisha sudah didepangkan. Dalam masa sesaat, Farisha sudah menerkam lelaki itu. Mereka berdua jatuh bergulingan di atas tanah. Cuma posisi sahaja yang sudah bertukar daripada perancangan awal Farisha. Jika tadi dia mahu menangkap belakang lelaki itu, tetapi kini mereka seolah-olah berpelukan bagaikan pasangan kekasih dalam filem Bollywood yang main guling-guling di taman!

Amar dan Amir bersorak!  Farisha turut menjerit, meminta tolong! Riuh dibuatnya halaman rumah Wan Mariani. Berkejar semua orang yang berada di belakang dan dapur  ke laman. Sangkanya ada musibah yang telah menimpa. Sampai di laman, terlopong semua yang melihat. Adegan apakah ini? Farisha dengan lelaki mana pula tu?

Farisha masih berada di atas lelaki itu. Wajah lelaki itu masih tidak lagi diperhatikan. Tetapi kenapa lelaki itu seperti suka dan tak membantah langsung? Farisha mendongak. Seluruh ahli keluarga sedang memerhatikan mereka berdua. Amar dan Amir masih lagi bersorak. Ingat aku tengah buat show Maharaja Lawak ke? Nadia pula mulutnya terbuka luas, lalat masuk pun pasti tak sedar. Boleh terbatal puasa minah senget ni! Tidak mahu terus berdrama, Farisha ingin bersuara menjelaskan kepada semua. Baru mahu bangun dan betulkan keadaan, Farisha terkejut beruk. Masakan dia boleh tak terkejut. Lelaki itu! Sedang sengih kepadanya. Bukan sengihan yang jadi persoalan. Tetapi lelaki itu! Macam mana lelaki itu boleh ada dekat sini? Bagaimana lelaki itu tahu dia berada di sini? Ah, kenapa lelaki itu muncul lagi!

[Bersambung]

8 Komentar

Write Komentar
31/8/13 12:16 PG delete

Sapa lelaki tu ekk....jeng2...mcm bos farisha je...alahaiiii....

Reply
avatar
31/8/13 12:21 PG delete

@Nira Md.Jaffar Hehe, tak nak crita lagi. Tunggu erk ;)

Reply
avatar
Aku Anis
AUTHOR
31/8/13 1:27 PTG delete

alahh bersambung pulak. anis tengah syok baca tadi =[ hee

Reply
avatar
zie
AUTHOR
31/8/13 8:47 PTG delete

Kalu tau suspen mcmnie. Td tanya dh kat muz

Reply
avatar
zie
AUTHOR
31/8/13 8:48 PTG delete

I like. Keep it up

Reply
avatar
1/9/13 11:06 PTG delete

@zie
Hehe.. Tak aci la kalau mcm tu..

Reply
avatar
1/9/13 11:07 PTG delete

@zie
Thanks for your support Kak G`

Reply
avatar