Isnin, Ogos 26, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 7



Pagi ini ada drama sebabak yang terjadi di rumah sewa Farisha. Sengaja dia menunggu Saleha dan Watie bersiap ke tempat kerja. Sementara mereka belum turun, Farisha sekadar melayan Malaysia Hari Ini di TV3. Pabila turun sahaja dua orang teman serumahnya itu, Farisha memulakan mukadimah.

“Tie, Leha!” Panggil Farisha.

Watie dan Saleha yang sedang menuju ke arah pintu terbantut langkahnya. Kepala ditoleh ke arah Farisha. Serentak kedua-duanya. Menanti buah bicara gadis itu.

“Hari ni, aku nak pergi rumah nenek aku. Sampai raya aku dekat sana. Habis raya, aku nak balik rumah famili pula. Aku dah cakap kan sebelum ni?” Farisha meneruskan bicara.

Watie dan Saleha hanya menganggukkan kepala. Dalam hati sudah tahu arah mana perbualan ini akan dituju.

“Jadi, sebelum kau orang berdua pergi kerja, aku rasa eloklah aku cakap. Selepas ni tak tahu bila lagi kita boleh jumpa. Memanglah Malaysia ni tak besar mana. Tapi bila masing-masing dah ada haluan sendiri, jangankan nak jumpa, berbual dekat telefon pun payah. Makanya, aku nak minta maaf dekat kau orang berdua. Mana tahu, semenjak kita jumpa, ada sebarang salah silap yang aku ada terbuat tanpa sedar kan? Aku minta maaf sangat-sangat ya. Halalkan makan minum aku, kalau ada yang terlebih semua itu, ya?” Pinta Farisha sebak.

Watie yang mendengar sudah bergenang air di tubir matanya. Manakala Saleha sudah meluru memeluk Farisha. Asalnya Farisha seorang yang menyewa di rumah ini. kemudian baru dia dan Watie masuk dan menyewa sekali. Walaupun dicampur, tolak, kali dan bahagi hubungan mereka tidak mencapai angka puluhan tahun, tetapi masa yang telah dilalui bersama ini bersalut begitu banyak kenangan sehinggakan perpisahan yang terbentang di hadapan mata terasa begitu menyakitkan.

“Aku pun sama. Aku minta maaf juga kalau-kalau ada sakitkan hati kau.” Saleha pula bersuara.

Begitu juga dengan Watie. Mereka bertiga saling berpelukan dan meminta maaf. Sesungguhnya maaf itu mudah untuk dipinta tetapi payah untuk diberi. Bagaimanapun mereka semua sedar bahawasanya pembalasan yang indah bagi setiap kepincangan itu adalah menerusi kemaafan kerna  usai maaf diberi dan diterima hati akan menjadi tenang. Segala beban bagaikan sudah berterbangan. Apatah lagi di bulan mulia seperti Ramadan.

Watie dan Saleha sudah lama bergerak ke tempat kerja. Farisha pula menyambung tidur seketika sebelum bangun dan bersiap-siap. Hari ini dia akan tinggalkan rumah teres dua tingkat ini. Tidak tahu bila dia akan kembali lagi. Bukan bermakna dia langsung tidak akan menjejakkan kaki kembali ke sini. Cuma masa dan waktunya, Farisha tidak pasti. Sudah nama dirinya insan biasa. Tidak mampu mengetahui apa yang berlaku di kemudian hari.

Mazda 6 merah saga dipandu dengan berhati-hati. Kad touch n go dihalakan pada pengimbas. Usai palang terangkat, pedal minyak ditekan dan kereta kesayangannya itu mula meluncur membelah jambatan Pulau Pinang. Jambatan Pulau Pinang yang merupakan mercu tanda negeri ini juga negara sejak dibuka pada tahun 1985. Tidak ada banyak kenderaan yang menggunakan jambatan yang terpanjang di Malaysia ini. sengaja Farisha memilih waktu sebegini. Tidak perlu dia bersesak dengan pelbagai macam kenderaan. Kesesakan jalan raya hanya merimaskannya.

Hala tuju pemanduan Farisha menuju ke Balik Pulau. Sebuah kawasan di Pulau Pinang yang sedikit terpinggir lantaran duduk letak geografinya. Kawasan bukit bukau perlu diredah terlebih dahulu sebelum sampai ke destinasi. Jika dahulu rangkaian jalan raya yang menghubungkan Balik Pulau dengan tanah rata agak menggerunkan. Dengan struktur yang bengkak-bengkok dan sempit, pastinya menimbulkan rasa cuak kepada pemandu. Belum lagi dengan keadaan jalan raya yang curam.

Keluar dari jambatan, Farisha memilih laluan ke Balik Pulau. Dia perlu melintasi Universiti Sains Malaysia kerana laluan yang dipilihnya itu adalah jalan Bukit Baru. Farisha punya satu lagi pilihan, iaitu Bukit Lama. Tetapi perjalanan ke sana memakan sedikit masa tambahan kerana Farisha perlu memilih laluan ke Bayan lepas terlebih dahulu. Apa yang pasti laluan Bukit Baru ini lebih curam, bersimpang-siur dan berbengkang bengkok, sekali gus menuntut Farisha memberikan tumpuan yang lebih kepada pemanduan.

******

Balik Pulau. Jika mahu diselongkar sejarah asal usul namanya, tidak tahu dari mana datangnya nama itu. Tidak pernah terlintas di dalam fikiran Farisha untuk bertanyakan kepada Wan Mariani, neneknya yang seorang itu. Wan Mariani merupakan seorang nenek yang sangat baik. Farisha tersenyum nipis mengenangkan neneknya itu. Dia kini sedang mendaki Bukit Baru dalam usaha menuju ke rumah neneknya. Jalan yang berliku dan struktur geografi yang tinggi, benar-benar mengasingkan kawasan itu dengan tanah rata. Seolah-olah sangat kena dengan namanya, Balik Pulau. Bagaikan tersembunyi di sebalik sebuah pulau. Farisha bersoal-jawab sendirian di dalam hati dan fikiran.

Akalnya sekali lagi pantas mengingatkan neneknya itu. Wan Mariani merupakan seorang balu. Datuknya, Ahmad Kassim sudah lama meninggal dunia. Farisha masih lagi ingat lagi cerita ibunya. Ahamad Kassim merupakan seorang pegawai tentera darat. Terkena perangkap lama dan diserang hendap musuh ketika berkhidmat untuk negara telah menamatkan riwayat Ahmad Kassim dalam usia yang muda. Ketika itu, Wan Mariani sedang mengandungkan ibu Farisha. Walaupun pada ketika itu, Wan Mariani masih muda dan baru sahaja melepasi angka awal 30-an, tetapi kerana cinta yang setia, kasihnya tetap utuh buat Ahmad Kassim. Walau disuruh dan dipadankan dengan lelaki-lelaki lain, hati Wan Mariani tetap tidak bergoyah.

Pada usia lebih 80 tahun itu, Wan Mariani masih lagi gagah. Kali terakhir Farisha menjenguk adalah sebelum bulan Ramadan yang lepas. Neneknya tinggal seorang diri pada mulanya. Sebelum salah seorang cucu lelaki, iaitu Amirul mengambil keputusan untuk tinggal bersama neneknya itu setelah berkahwin. Amirul bertindak sedemikian bukan sekadar semata-mata keprihatinan terhadap neneknya itu, bahkan kerana keputusan yang diambilnya untuk membangunkan perusahaan industri kecil dan sederhana berasakan produk makanan tradisional yang diusahakannya bersama-sama penduduk kampung di situ. Selain perusahaan industri kecil, Amirul juga khabarnya telah membuka beberapa buah kolam menternak ikan keli untuk dieksport kepada pembekal. Dan terbaharu, Amirul dalam proses membela kambing-kambing berbaka baik.

Farisha berasa bangga dengan kejayaan Amirul. Amirul merupakan anak tunggal kepada awah Pak Long dan Mak Longnya. Emak dan ayah Amirul telah meninggal dunia ketika dia berusia 13 tahun akibat kemalangan jalan raya. Selepas itu, Amirul tinggal sebentar bersama neneknya di Balik Pulau ini sehingga menduduki peperiksaan awam. Sejurus mendapat keputusan yang baik, Amirul melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dalam jurusan perniagaan. Sesudah menggenggam segulung ijazah, dia mencari pengalaman di ibu kota terlebih dahulu sebelum kembali pulang ke kampung halaman untuk berbakti di tanah sendiri. Laksana sireh pulang ke gagang.

Tidak sabar pula rasanya Farisha mahu bertemu dengan Amirul dan juga isterinya. Kali terakhir dia bertandang, pasangan itu tidak ada di rumah lantaran ada urusan luar yang penting. Disebabkan Farisha tidak dapat meluangkan banyak masa ketika itu, dia hanya sempat bertemu dengan neneknya seorang sahaja. Mazda 6 yang dipandu Farisha sudah melintasi kawasan berbukit-bukau. Kereta kesayangannya itu dibelokkan ke susur masuk Pondok Upeh. 

Kereta dipandu dengan kelajuan sederhana. Jalan kampung seperti ini bahaya untuk membawa kenderaan dalam had yang melebihi daripada kadar yang ditetapkan. Boleh jadi ada kanak-kanak yang meluru melintas. Boleh jadi juga tiba-tiba binatang ternakan seperti ayam dan itik tiba-tiba boleh ada di tengah-tengah jalan. Makanya, sebagai insan dewasa dan berakal waras dia perlu realistik di dalam kehidupan. Takkanlah hendak disalahkan ayam dan itik jika ditakdirkan berlaku kecelakaan disebabkan binatang ternakan itu?

Tidak di sebuah persimpangan, Farisha membelokkan keretanya masuk ke dalam laluan itu. Di bawah pohon rambutan yang rimbun dia meletakkan kenderaannya. Enjin dimatikan. Farisha keluar dari kereta. Tidak kelihatan siapa-siapa di halaman rumah kampung tradisional yang agak luas itu. Biarpun rumah lama, tetapi masih nampak utuh dan gagah. Pandai neneknya menjaga.

Farisha mengitari kawasan sekeliling. Matanya dipejamkan. Dan udara bersih kawasan di atas bukit itu dihidu dalam. Terasa nyaman hingga ke otak. Tanpa sedar bibirnya menguntum senyum. Mana dia mahu mencari semua ini di kota? Bahkan di tanah rata di Georgetown sana? Yang tinggal hanya hutan batu! Alam kurniaan Tuhan semakin rakus ditelan zaman. Ah, bukan salah zaman! Salah manusia yang menerajui sesuatu zaman itu sebenarnya!

Lama matanya terpejam. Sambil terpejam sempat lagi dia buat perbandingan antara suasana kampung dan kota. Tidak mahu menjadi tugu negara di halaman rumah neneknya itu, Farisha mula membuka perlahan-lahan. Gayanya serupa pesakit koma yang terlantar bertahun-tahun di atas katil yang baru mahu sedar buat pertama kali. Mengada-ada sungguh! Semerta matanya terbuka, Farisha terkejut. Spontan bibirnya terlatah. Eantah perkataan apa-apa yang terlontar keluar daripada bibirnya, dia tidak tahu. Yang pasti, dia benar-benar terkejut. 

Wan Mariani ketawa besar melihat telatah cucunya. Masakan tidak, gadis itu terkejut beruk melihat Amirul yang sedang mengacah sebilah parang di hadapan mata anak gadis itu. Melihatkan wajah Farisha yang sudah pucat lesi tak berdarah, Amirul ketawa berdekah-dekah. Maisarah, isteri Amirul hanya menggelengkan kepala melihat keletah nakal suaminya. Kasihan Farisha, baru sahaja sampai, sudah dikenakan sebegitu rupa, fikir hatinya.

“Nek, tengoklan abang Mirul ni.” Farisha meluru ke arah Wan Mariani. Dipeluknya nenek itu penuh kasih sayang usai tangan wanita itu disalami. Sengaja Farisha merengek-rengek dengan nada suara meminta simpati. Mahu Wan Mariani menegur Amirul sebenarnya!

“Eleh, dah besar panjang pun masih lagi lemah semangat. Ingatkan masa dulu-dulu saja macam tu. Rupanya tak berubah lagi. Kalau nak tahu Mai, Sha ni waktu datang beraya dekat sini dulu, boleh terkencing dalam kain sebab kena sergah dengan budak-budak yang takutkan dia masa balik solat tarawih.” Cerita Amirul kepada isterinya. Maisarah hanya mendengar, tak mahu menyampuk perbualan antara dua orang sepupu yang lebih kepda mengusik itu.

“Abang Mirul ni! Itu dululah, waktu kecil-kecil. Adakah patut nak diungkit dan cerita bagai. Buat malu aja tau!” Farisha sudah bercekak pinggang di hadapan Amirul.

Wan Mariani hanya menggeleng kepala melihat fiil dua orang cucunya itu. Dua-duanya dia sayang. Bahkan bukan mereka berdua sahaja, cucu-cunya yang lain juga dia sayang. Semuanya sama. Tidak ada istilah lebih dan kurang. Dia tidak mahu menjadi seorang nenek yang pilih kasih. Hatta, Amirul yang duduk bersamanya juga tidak mendapat sebarang keistimewaan bagi membezakan dirinya dengan cucu-cucunya yang lain. Wan Mariani tidak mahu ada di antara cucu-cucunya terasa hati dengan layanan yang berbeza. Boleh jadi kalau itu terjadi akan berlaku kepincangan dalam kerukunan keluarganya. Mungkin ada yang akan menjeruk rasa dan tidak mahu bertandang mengunjunginya lagi. Perkara sebegitulah yang amat ditakuti oleh Wan Mariani.


“Sudahlah tu, Mirul. Tak usah kamu nak usik Sha ni lagi. Kesiah dia. Baru sampai. Bagi dia masuk dan berehat dulu. Karang, petang-petang sikit, kamu nak usik dia samapi dia nangis pun tak apa.” Wan Mariani bersuara dengan selamba. Terbeliak mata Farisha mendengar ayat terakhir neneknya. Amirul pula membuat muka yang penuh dengan perancangan jahat.


[Bersambung]