Khamis, Ogos 22, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 6




Juadah berbuka puasa sudah dijamah bersama rakan-rakan. Watie yang membelinya hari ini. Saleha pula menyediakan minuman. Farisha tidak membuat apa-apa.  Sekadar membawa diri duduk di situ., berbuka bersama-sama.  Terlalu banyak yang berlaku pada hari itu membuatkan Farisha seolah-olah sudah hilang semangat! Jika ada yang molek sekalipun sepanjang hari itu hanyalah Faisal. Faisal Fathuddin. Lelaki berwajah tampan yang sungguh berbudi bahasa. Bukan sahaja indah luarannya tetapi juga terjaga dalamannya. Sungguh, Farisha tidak pernah bertemu insan asing yang sanggup mengenepikan urusan diri bagi membantu orang yang baru dikenali!

Selesai solat Magrib, Farisha duduk di tikar sembahyang. Kitab suci diambil. Ayat-ayat yang terkandung di dalamnya dibaca dengan penuh tertib. Dia menggunakan mushaf yang mempunyai terjemahan.  Setiap ayat-ayat suci yang dibaca dalam bahasa Arab itu diterjemahkan menerusi tulisan rumi bagi pemahaman masyarakat di sini. Farisha khusyuk membaca surah Al-Baqarah sambil mendalami setipa maksud ayat-ayatNya.  Tiba di s ayat 216 surah Al-Baqarah, bacaan Farisha terhenti. Terjemahan ayat itu benar-benar mengusik jiwanya.

“Boleh jadi kamu benci sesuatu padahal ia amat baik bagimu; Boleh jadi kamu suka sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah jua yang mengetahuinya sedangkan kamu tidak mengetahuinya”

Farisha diam seketika. Fikirannya berterbangan menganalisis kehidupannya sejak akhir-akhir ini. sedikit tunggang-langgang. Baik dari segi fizikal mahupun emosional. Farisha ingin berdikari. Disebabkan itulah dia memilih untuk menimba pengalaman di OOTB Creative. Semuanya berjalan lancar di OOTB Creative selama lima tahun dia di sana. Tidak ada sebarang masalah yang besar. Rakan sekerja yang sekepala dan bos yang boleh bertoleransi memudahkan hidup dan kerjayanya. Cuma seminggu dua kebelakangan ini yang begitu mencabar kesabarannya. Semuanya kerana lelaki itu. Faliq Zaquan. Kenapa lelaki itu perlu hadir dalam hidupnya?

Suara hati yang membentak membuatkan Farisha tidak tentu arah. Perasaan mula bercampur. Mushaf di hadapan tiba-tiba menarik Farisha ke alam nyata. Ayat 216 Surah Al- Baqarah bagaikan membelai jiwa yang resah. Hatinya yang gersang bagaikan disapu salju putih nan dingin.  Farisha menarik nafas dengan panjang. Barangkali sudah sampai masanya untuk dia kembali ke pangkuan keluarga. Mungkin kerana itulah lelaki bernama Faliq Zaquan itu dihadirkan dalam kehidupannya.

Kata putus sudah dibuat. Jawatan di OOTB Creative akan dilepaskan. Surat peletakan jawatan sudah siap ditaip dan selamat dimasukkan ke dalam sampul berwarna coklat. Tinggal untuk diserahkan kepada Ikram buat disampaikan ke bahagian sumber manusia atau terus kepada Encik Amran Hakimi yang sedang mengambil alih tugas Tuan Haji Minhad Muhaimin. Farisha tidak mahu menjejakkan kaki di OOTB Creative lagi. Muka Faliq Zaquan tidak mahu ditatap. Dan lebih penting lagi dia tidak mahu hatinya berbelah bagi untuk meninggalkan pejabat yang telah memberinya rezeki selama lima tahun kebelakangan ini.

******

Ramadan sudah 20 hari berlalu. Hari ini sudah menjengah ke sepuluh malam yang terakhir. Sudah seminggu Farisha tidak bekerja. Kepada Watie dan Saleha sudah diterangkan duduk letak perkara sebenar. Mereka berdua hanya mendengar. Tidak membantah keputusan Farisha. Kenapa? Sebabnya Watie dan Saleha tahu siapa Farisha yang sebenarnya. Lebih tepat lagi latar belakang Farisha yang masih mampu hidup dengan selesa walaupun hidupnya sekadar bergoyang kaki.

Farisha hanya membuang masa di rumah dengan beristirehat.  Novel dan televisyen menjadi teman. Rak buku di dalam biliknya dipenuhi novel-novel daripada penulis kegemarannya. Nama-nama seperti Norhayati Berahim, Ramlee Awang Murshid dan Melur Jelita pasti ketinggalan daripada menghiasi ruang kosong yang masih mampu memuatkan berpuluh-puluh novel lagi di situ.  Jika sudah bosan dengan novel, Farisha beralih pula pada komputer riba. Broadband Celcom menjadi teman menghubungkan Farisha dengan dunia maya. Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dikunjungi.

Pagi itu Farisha bersendirian di rumah. Tidak ada apa-apa yang menaik di kaca televisyen. Komputer riba dibuka dan Broadband Celcom disambungkan. Laman Facebook dicari. Setelah habis loading, Farisha memasukkan alamat a-mail dan kata laluan. Selesai laman Facebook dibuka, Farisha galak mencari kelibat dua orang manusia di laman sosial paling popular di Malaysia ini. Entah macam mana timbul idea gila ini pun dia tidak tahu. Spontan! Tak dirancang.  Siapakah gerangan dua orang manusia itu? Faliq Zaquan dan Faisal Fathuddin.

Nak kata buang tabiat, Farisha biasa-biasa saja sejak bangun dari sahur awal pagi tadi. Cuma entah kenapa tiba-tiba sahaja perasaan ingin tahu membuak-buak dalam hatin dan fikirannya. Sebelum membuka komputer riba tadi tidak pula terlintas berbuat demikian. Semasa memasukkan kata laluan bagi akaun Facebook miliknya, baru terdetik untuk jadi stalker. Biasalah, ramai yang jadi stalker dalam laman sosial ini. kerjanya mengendap sahaja. Farisha bukan mahu jadi wartawan Melodi yang suka terjah para selebriti. Dia sekadar mahu tahu dengan lebih lanjut perihal dua orang lelaki yang tiba-tiba sahaja datang dalam kehidupannya. Seorang menyenangkan dan seorang lagi menyakitkan!

Faliq Zaquan dan Faisal Fathuddin. Dua orang lelaki yang ada rupa dan gaya. Dua orang lelaki yang punya karisma. Tetapi kedua-dua orang lelaki itu tidak mempunyai personaliti yang sama. Farisha senang dengan pertemuan bersama Faisal. Dia seorang yang pandai menjaga pergaulan dan tutur kata. Manakala bersama Faliq, sering kali mereka akan bertikam lidah. Farisha yang dikenali bukanlah seorang yang cepat melenting. Tetapi entah kenapa, bersama Faliq dia gagal mengawal perasaan. Ada rasa sesuatu yang entah apa di dalam hatinya ketika berhadapan dengan Faliq. Dan sejujurnya Farisha cukup takut dengan perasaan itu. Lantaran itu Farisha membina halangan antara dirinya dan Faliq.  Hanya dengan bersikap seperti kucing dan anjing sahaja, dia dapat mencantas rasa yang datang tanpa dia sendiri mahu!

Farisha tidak memerlukan masa yang banyak untuk mencari kelibat akaun Facebook milik kedua-dua orang lelaki itu. Pada zaman teknologi kini, siapa yang tidak mempunyai akaun di laman sosial seperti Facebook ini? Lebih-lebih lagi di Malaysia yang rata-rata rakyatnya begitu galak menggunakan kemudahan atas talian setiap hari. Farisha punya maklumat diri Faisal lewat kad perniagaan pemberian lelaki itu. manakala maklumat Faliq pula diketahui menerusi data sumber manusia di OTB Creative. Farisha punya kaki di jabatan itu yang sudi menolongnya mendapatkan maklumat mamat sengat bermulut laser itu!

Sedang asyik menyelongkar akaun Facebook milik kedua-dua orang lelaki itu, tiba-tiba Farisha terkejut! Sebenarnya tak banyak maklumat yang diperoleh memandangkan mereka bukan rakan di dalam laman sosial itu. Tetapi apa yang disaksikan benar-benar mengutuskan persoalan. Faliq Zaquan dan Faisal Fathuddin adalah rakan di Facebook! Apakah kedua-dua lelaki itu saling mengenali di alam nyata sebagaimana berkawan di alam maya? Farisha tidak punya jawaban untuk persoalan itu!

******

Masa terus berlalu. Tiga hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini seluruh kaum kerabat keluarga Farisha akan berkumpul di rumah neneknya di Balik Pulau. Balik Pulau yang terletak di bahagian pulau negeri Pulau Pinang itu tidak jauh dari tempat tinggal semasa Farisha. Kurang lebih 40 minit perjalanan dia akan sampai jika tiada kesesakan lalu lintas di atas jambatan. Disebabkan Farisha sudah menjadi penganggur terhormat, maka dia memutuskan untuk pulang dua hari lebih awal sebelum menjelangnya Aidilfitri membuat membantu apa-apa yang perlu di rumah neneknya itu.

Ramadan ke dua puluh tujuh. Farisha masih lagi bersendirian di rumah. Sejak pagi tadi, barang-barang peribadinya sudah dikemaskan. Benda-benda yang penting dan perlu sudah dimasukkan ke dalam beg dan kotak.  Benda-benda yang tidak penting dan diperlukan pula sudah disimpannya kemas di dalam bilik tidur utama yang dihuninya dalam rumah ters dua tingkat itu. Esok dia akan bertolak ke Balik Pulau. Rumah pusaka yang didiami neneknya akan dikunjungi. Seterusnya, usai sambutan Aidilfitri Farisha akan mengikut keluarganya ke Kuala Lumpur. Perancangannya ini belum lagi dimaklumkan kepada keluarganya. Tetapi Watie dan Saleha sudah maklum.

Sekejaban lagi waktu solat Asar akan menjengah. Dalam fikiran Farisha ada sesuatu. Sesuatu yang belum langsai. Sesuatu yang telah dimulakan tetapi sayangnya sudah ditinggal separuh jalan. Farisha tidak tahu bagaimana dengan perkembangan ubah suai ruang tamu banglo milik Datin Maizurah. Walaupun wanita elegan itu cerewet orangnya tetapi Farisha tetap rasa bersalah apabila meninggalkan urusan bersama Datin Maizurah di separuh jalan. 

Entahkan siap atau tidak pengubahsuaian ruang tamu banglo yang cantik dan mewah itu. Sudahlah Aidilfitri tinggal beberapa hari sahaja lagi. Saat dia mengoyakkan lakaran yang dibuat untuk ruang tamu Datin Maizurah di hadapan Faliq, dia tidak pula terfikirkan semua ini. Cuma sekarang, Farisha mula rasa bersalah. Lalu selesai mengemas tadi, Farisha sudah membakar sebiji kek Red Velvet. Sejambak lili putih telah dipesan di Spicy Florist menerusi talian. Perancangannya, petang itu dia akan mengunjungi Datin Maizurah. Farisha mahu mohon maaf kerana tidak bersikap profesional. Kek Red Velvet dan jambangan lili putih akan menjadi simbolik kemaafan yang dipohon. Apapun, jauh di sudut hati Farisha, dia berharap Faliq telahpun menguruskan hal ruang tamu banglo Datin Maizurah itu.

Usai solat Asar, Farisha mula memandu Mazda 6 dengan tenang. Lokasi yang pertama yang dituju ialah Spicy Florist. Dia sudah berjanji akan datang mengambil gubahan bungan itu pada pukul 5.00 petang. Vintage Omega yang terikat kemas di pergelangan tangan dilihat sekilas. Waktu sudah melepasi 5.15 minit petang. Farisha sudah lewat daripada masa yang dijanjikan. Bagaimanapun dia tidak mahu terburu-buru. Peristiwa nyaris kemalangan beberapa hari lalu masih segar di dalam ingatan. Jika bukan kerana Faisal, barangkali Mazda 6 miliknya sudah disondol oleh lori balak dari laluan lorong sebelah.

Hari ini Farisha mengenakan blouse tangan panjang berwarna hitam yang mempunyai sulaman renda di di bahagian leher dan pergelangan tangan. Blouse itu dipadankan pula dengan seluar Palazzo berwarna turqoise. Tali pinggang besar berwarna putih menjadi pelengkap gaya. Farisha turut mengenakan tudung bawal berwarna turqoise, senada dengan seluar Palazzo yang dipakainya. Sememangnya Farisha mempunyai cita rasa dalam berfesyen. Jika tidak, masakan dia mempunyai koleksi pakaian sebegini, yang apabila dipadankan tampak begitu serasi dengan tubuh badannya. Persis seorang model dalam majalah Hijabista. Bezanya model-model yang kononnya memperagakan fesyen hijab tampil dengan fesyen gulung-gulung yang entah apa-apa. Sebaliknya Farisha lebih selesa memilih bawal. Yang penting menutup kepala termasuk telinga dan anggota lain yang diwajibkan.

Farisha tiba di Spicy Florist. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 5.40 minit petang. Sesak di jalan raya. Ditambah dengan kemalangan yang berlaku di laluan yang digunakannya membuatkan Farisha terlewat. Jambangan bunga diambil dan bayaran dibuat. Kemudian pemanduan diteruskan ke banglo Datin Maizurah. Kurang lebih pukul 6.00 petang Farisha sampai di perkarangan banglo Datin Maizurah. Pengawal yang bertugas menghubungi tuan rumah. Setelah mendapat kebenaran, pintu pagar automatik itu terbuka, dan Farisha memandu Mazda 6 ke dalam kawasan perkarangan banglo mewah itu. turun dari kereta, Farisha sudah nampak kelibat Datin Maizurah yang sedang duduk di sebuah kerusi di taman yang direka cantik di laluan menghadap pintu utama banglo tiga tingkat itu.

Farisha menghampiri Datin Maizurah. Salam diucap dan dihulur. Datin Maizurah menyambut. Kemudian diberikan kepada Datin Maizurah sejambak lili putih dan sebuah kotak sederhana saiznya yang mengandungi kek Red Velvet hasil sentuhan tangannya sendiri. Dantin Maizuran menjongketkan keningnya sebelah. Tidak faham kenapa Farisha memberikannya buah tangan secara tiba-tiba. Sudahlah kunjungan gadis itu tanpa perkhabaran awal. Mujur dia ada di rumah. Jika tidak, bukankah sia-sia sahaja usaha gadis itu mengunjunginya.

“Datin apa khabar?” Farisha memulakan perbualan

“Baik. Kamu pula macam mana? Sejak temu janji hari itu terbatal dah lesap pula kamu. Yang datangnya orang lain. Katanya kamu ambil cuti raya awal. Ada hal katanya. Terkejut juga saya. Mana pernah ada orang ambil cuti dua minggu sebelum raya kan?” Balas Datin Maizurah.

Farisha teragak-agak. Dia tidak tahu siapa yang menggantikannya meneruskan tugas di banglo Datin Maizurah itu. Alasan yang dicipta pula walaupun nampak tak berapa logik tetapi masih kelihatan untuk menutup kisah yang sebenar. Baik juga orang itu tak ceritakan kisah sebenar. Kalau tidak tak ke nampak kebudak-budakan sangat sikapnya. Umur sudah nak masuk 30-an tetapi berhenti kerja sebab bergaduh dengan bos. Lagi teruk siap selamba koyakkan rekaan ruang tamu banglo yang telah disiapkan dan dilempar pula ke muka bosnya itu. Bila difikirkan balik, boleh tahan gila juga tindakannya.

“Sebenarnya Datin, saya datang ni nak minta maaf. Ya, la. Pada awalnya saya yang bincang tentang ubah suai ruang tamu banglo Datin ni. Alih-alih ada orang lain pula yang menggantikan. Tak tahulah kalau-kalau Datin selesa atau tidak.” Farisha menyatakan tujuan kedatangannya,

“Eh, tak apa. Dah kamu ada hal. Lagipun, si Faliq itu pun datang tengok-tengok saja. Semua perancangan dilakukan mengikut idea kamu. Dia tak ada ubah apa-apapun. Saya pun suka sangat dengan design yang terhasil, lepas siap semuanya. Jomlah masuk, awak tengok sama hasilnya. Dah siap lengkap dua tiga hari sudah.” Pelawa Datin Maizurah.

Farisha menurut. Langkah Datin Maizurah diikut dengan perlahan. Sambil berjalan mulut Datin Maizurah becok bercerita itu dan ini. Tetapi fokus Farisha tidak lagi berada di situ. Jika dia sudah koyakkan kesemua lakaran yang pernah dihasilkan untuk ruang tamu Datin Mizurah, bagaimana pula Faliq boleh merealisasikan design yang sama? Lagi satu yang mengganggu fikiran Farisha ialah perbuatan Faliq yang menyembunyikan hakikat sebenar dengan mereka alasan bahawa dia sedang bercuti. Padahal bukankah dia sudah berhenti?

“Farisha! Eh mengelamun pula budak ni! Tegur Datin Maizurah.

Terkejut Farisha dibuatnya. Rupanya mereka sudah tiba di ruang tamu utama banglo Datin Maizurah. Terpempan seketika Farisha. Hasil ideanya lebih menarik dipandang secara realistik berbanding dalam lakaran. Tidak ada apa untuk dihairankan. Jika ada fulus apa sahaja boleh jadi kenyataan. Datin Maizurah duduk di salah sebuah sofa empuk di ruang tamu itu. Begitu juga dengan Farisha.

Belum sempat Farisha membuka mulut memuji nuansa ruang tamu itu, kedengaran satu suara memberi salam. Datin Maizurah menjawab salam dengan senyuman lebar di bibir. Farisha turut menghalakan pandangan pada pintu utama. Yang melangkah masuk adalah kelibat seorang lelaki. Masuknya tertib. Menghampiri Datin Maizurah dan bersalam serta mengucup pipi wanita itu. Sah, lelaki itu anak kepada Datin Maizurah. Farisha masih belum jelas wajahnya kerana posisi lelaki itu yang sedang membelakanginya.

“Kamu ni Faisal, besar-besar pun masih nak bermanja dengan mummy. Itulah orang suruh kahwin, dia tak nak.” Datin Maizurah mengusik anak terunanya.

Faisal hanya tersenyum. Malas mahu membincangkan soal kahwin. Dia mula berkalih badan. Sekali matanya terpandangkan Farisha. Mulutnya terlopong.

“Awak?”

“Awak?”

Satu patah perkataan yang sama. Dalam Bahasa Melayu, awak termasuk dalam kata ganti nama diri kedua. Dan perkataan itulah yang terluah lewat bibir Farisha dan Faisal. Serentak pula! Drama itu disaksikan Datin Maizurah dengan penuh persoalan. Kenalkah mereka berdua ini? Alamatnya ada harapan untuk timang cucu. Eh, jauh benar impiannya, kahwin pun belum lagi Datin Maizurah, bawa-bawalah bersabar sikit, ya!



[Bersambung]

2 Komentar

Write Komentar
23/8/13 8:37 PG delete

best2...tak sabar untuk sambungan seterusnya ni.... faliq or faisal...sapa pilihan farisha...(sy suka faisal..hehe)

Reply
avatar
23/8/13 10:26 PTG delete

@Nira Md.Jaffar Trima kasih sudi baca. Takpa kita tggu nanti tgok sapa yg Farisha pilih erk ;)

Reply
avatar