Rabu, Ogos 21, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 5



Seminggu bekerja di bawah arahan Faliq Zaquan, kehidupan Farisha sudah berubah seratus peratus. Jika dahulu kerjayanya terasa indah, tetapi sekarang batinnya merana terseksa. Saban hari ada sahaja yang tidak kena di mata Faliq Zaquan. Kadang-kadang rekaannya diibaratkan seperti sampah. Masakan tidak? Penat-penat Farisha memerah idea sampaikan tidur dua tiga pagi, senang-senang mamat sengal itu reject proposal yang disediakannya. Kalau setakat reject tak mengapa. Farisha boleh bersabar lagi. Ini siap datang berpakej dengan kutukan dan sindiran lagi. Lepas tu disuruhnya Farisha siapkan rekaan baharu. Kalau dah terror sangat, kenapa tak siapkan saja rekaan itu sendiri?

Hari ini Farisha lemah sahaja melangkah ke pejabat. Semalaman dia tidak tidur menyiapkan rekaan baharu untuk ruang tamu banglo Datin Maizurah. Jika pertemuan terdahulu dengan Dati Maizurah, wanita itu yang menyuruh Farisha membuat penambahbaikan, tetapi sejak kemunculan Faliq Zaquan, sudah dua kali perubahan yang dilakukan terhadap rekaan dalaman banglo mewah itu ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu.  Ini menyebabkan pertemuan yang dijanjikan bersama Datin Maizurah terpaksa dibatalkan.  

Petang ini Farisha sudah menetapkan janji temu bersama Datin Maizurah. Dia berharap rekaan kali ini akan dipersetujui oleh Faliq dan diterima oleh Datin Maizurah. Dia sudah penat asyik memikirkan dua nama ini sejak akhir-akhir ini. Teman serumahnya juga sedar akan perubahan lakunya lewat seminggu ini. Farisha yang riang sudah bertukar jadi muram. Ada juga Watie dan Saleha bertanyakan perubahan Farisha itu. Namun, Farisha lebih senang memendam cerita sendiri.

Fikiran yang melayang membuatkan pemanduan Farisha tidak lancar. Mazda 6 yang dipandu tidak senada. Kawalan stereng juga tidak sebaik selalu. Jasadnya sedang berada dalam kereta, sebaliknya jiwa dan minda Farisha tidak sudah-sudah memikirkan reaksi Faliq tentang rekaan terkini ruang tamu banglo Datin Maizurah yang disiapkannya.  Tanpa sedar Mazda 6 Farisha hampir tersasar ke lorong sebelah kanan di jalan berkembar itu. Hon kuat kereta di belakang mengejutkan Farisha. Pantas break kaki ditekan. Mazda 6 terberhenti di bahu jalan.

Di belakang, ada sebuah kereta lagi turut sama berhenti di laluan kecemasan. Pemandunya keluar. Seorang lelaki. Daripada pakaian yang dikenakan seperti seorang ahli korporat. Seluar slack garis halus kelabu dipadankan dengan baju kemeja hijau muda polos. Penampilan lelaki itu dilengkapkan dengan tali leher hijau tua berbelang putih. Rambutnya pendek dan digayakan ala Mohawak. Nampak menarik dan kena dengan betuk wajahnya. Lelaki itu cemas sebenarnya. Dengan pantas pintu kereta Bentley Continental GT V8 berwarna jingga ditutup. Mazda 6 merah yang tersadai di bahu jalan di hadapannya dituju.

Sampai di sebelah tingkap kereta pemandu, lelaki itu mengetuk cermin. Farisha yang ketika itu sedang memejamkan mata terkejut. Sangkanya tadi dia sudah mati dan berada di alam roh. Rupanya dia masih hidup. Farisha tarik nafas dalam-dalam. Tangannya masih melekap di dada. Jantungnya berdegup laju. Kalah pelari pecut 100 meter.  Sekali lagi kedengaran cermin keretanya diketuk perlahan. Kali ini Farisha melihat siapa gerangannya. Melihat lelaki asing yang tidak dikenali, Farisha hanya sekadar menurun cermin tingkap separuh cuma.

“Cik! Cik tak apa-apa ke?” Soal lelaki itu.

Farisha mengerdipkan matanya. Kenapa dengan aku? Apa yang dah berlaku? Persoalan itu sekadar bermain dalam dirinya.

“Rasanya Cik masih terkejut.” Tambah lelaki tadi.

“Tadi Cik hampir tersasar ke lorong sebelah. Nasib baik saya nampak. Sebab tu saya bunyikan hon dengan kuat. Bukan nak takutkan Cik. Tapi kebetulan lorong sebelah tu ada lori balak sedang lalu, dan saya rasa Cik tak sedar pun akan kewujudan lori balak tu. Melihat kereta Cik semakin hampir ke lorong sebelah, saya risau ada apa-apa yang buruk akan terjadi. Itu yang hon terlama sedikit tadi. Maaflah kalau buat Cik terkejut.” Terang lelaki tadi panjang lebar. Mungkin dia rasa bersalah melihat wajah Farisha yang pucat. Sedangkan tindakannya tadi hanya spontan. Dia sendiri tidak pasti sama ada gadis yang memandu Mazda 6 itu sedar atau tidak dengan cara pemanduannya yang agak bahaya itu.

“Oh, saya rasa macam tak ingat apa yang berlaku tadi.” Luah Farisha pendek.

Lelaki itu sekadar memerhati. Nampaknya Farisha masih lagi terkejut. Lemah semangat mungkin gadis ini.

“Cik, rasa-rasanya Cik boleh memandu lagi tak? Kalau tak boleh, saya boleh tolong hantarkan.” Pelawa lelaki itu.

Farisha memandang pelik.

“Sebelum Cik berfikir yang bukan-bukan, saya bukan orang jahat. Cik boleh tengok kat belakang tu ada kereta saya. Saya bukan nak ambil kesempatan ke apa, Cuma sekadar membantu. Lagipun ini bulan puasa kan, tak salah menolong orang yang memerlukan.” Jelas lelaki itu.

“Kalau awak nak tolong hantar saya, habis tu macam mana degan kereta awak? Tanya Farisha kembali.

“Tak apa, saya tinggalkan di situ, nanti saya minta diver datang ambil dan follow kita. Lepas hantar awak, saya dah boleh terus ke pejabat dengan driver saya tu.” Terang lelaki tadi.

Farisha sekadar menganggukkan kepala. Tidak manis berterusan duduk di dalam kereta, Farisha membuka pintu di ruang pemanduan. Dia keluar. Kereta masih bersimpang siur di jalan raya. Langsung tidak menghiraukan dan lelaki asing yang pertama kali ditemuinya itu.

“Hello, Assalamualaikum Abang Mat!
Saya dekat highway Seberang Jaya ni.
Bertentangan dengan Caltex.
Bentley saya ada tepi jalan.  
Abang boleh cam kan?
Saya tengah tunggu.
Okay...”

Dalam pada Farisha ralit memerhatikan keadaan jalan raya, rupanya lelaki itu sudah menghubungi pemandunya.  Farisha memberikan sekuntum senyuman manis buat jejaka itu. Tampan juga orangnya. Baru Farisha sempat meneliti raut wajahnya.  Melihat kebisuan dan kejanggalan, lelaki itu pantas bertindak. Kad perniagaan yang tersimpan di dalam kocek dikeluarkan. Sekeping kad dihulurkan kepada Farisha.

“Saya, Faisal Fathuddin. Orang biasa panggil Faisal saja.” Faisal menghulurkan salam perkenalan. Hanya anggukan kepala dan senyuman manis. Tidak ada salam yang bersentuhan.

Hati Farisha tersentuh. Pandai lelaki ini menjaga pergaulan. Sudahlah baik hati mahu menolongnya. Budi bahasanya juga tinggi. Tidak seperti Faliq Zaquan yang fiilnya mengalahkan perempuan yang hendak menopause!

“Saya Farisha. Nak panggil Sha pun boleh.” Farisha membalas salam perkenalan.

“Eh, tak sangka nama kita nak dekat sama kan? Faisal, Farisha. Dua-dua mula dengan huruf F.” Faisal ketawa kecil di hujung bicara.

Belum sempat Farisha membalas, sebuah motosikal menghampiri mereka. Penunggangnya mengangkat tangan kepada Faisal. Faisal membalas. Pemboncengnya kemudia turun dan mendekat Faisal selepas menyerahkan topi keledar kepada penunggang motosikal itu tadi.  Sejurus itu, motosikal itu memecut meninggalkan mereka.

“Farisha, ini Abang Mat, pemandu di tempat kerja saya. Abang Mat, nah ni kunci kereta. Abang Mat tolong bawa kereta saya tu. Follow kami dari belakang, ya?” Arah Faisal dalam bentuk mintaan.

Abang Mat hanya mengangguk. Kunci kereta mula bertukar tangan.

“Farisha, jomlah kita gerak sekarang.” Ajak Faisal.

Farisha hanya mengangguk. Seketika, Farisha dan Faisal mula meninggalkan bahu jalan itu menuju ke OOTB Creative. Faisal jadi pemandu pada pagi itu manakala Farisha pula sebagai penunjuk arah.

******

Farisha menapak perlahan. Pejabat OOTB Creative bertempat di salah satu tingkat di bangunan yang tinggi melangit itu. semangat kerjanya sudah melayang. Jika tidak kerana Datin Maizurah dan rekaan ruang tamu untuk banglonya, mungkin dia sudah mengambil cuti pada hari itu. Cuti? Mahu mengaum harimau jantan seekor yang menggantikan Encik Amran Hakimi itu. Sampai di OOTB Creative, pintu kaca ditolak. Ika masih setia di ruang penyambut tetamu. Tanpa membuka peluang bicara bersama Ika, Farisha pantas melangkah ke ruang kerjanya.

Sampai di partiton miliknya, mata Farisha disogokkan dengan sehelai memo yang sebesar gedabak.

“Jumpa saya dengan segera!!! – Faliq Zaquan”

Farisha mendengus. Apa lagi yang lelaki itu mahu? Diambilnya memo tadi. Direnyukkan lalu dibuang ke dalam bakul sampah yang berhampiran. Selepas menyusun barang-barangnya Farisha duduk di kerusi.  Melepaskan lelah dan melapangkan dada. Bias terkejut peristiwa pagi tadi masih terasa. Sepantas itu fikirannya melayang kepada Faisal.

“Okay, Sha! Kita dah sampai.” Faisal bersuara memecahkan sunyi antara dia dan Farisha. Mereka tidak banyak berbicara. Kecuali untuk menunjuk dan bertanyakan arah ke pejabat Farisha sahaja. Mungkin disebabkan pertemuan itu masih baru, lalu kedua-duanya kelu.

“Awak, terima kasih banyak-banyak tau. Tak sangka masih ada orang yang baik seperti awak dekat dunia ni.” Farisha mengucapkan terima kasih kepada Faisal yang sudah bebrudi kepadanya.

“Tak apa. Bukan ada apa-apa sangat pun. Okay, Sha. Saya ras awak pun dah lewat, saya pun ada kerja lagi ni. So, kita berbual lain kali, ya? Nombor telefon saya ada di kad tu. Kalau tak keberatan boleh saya tahu nombor contact Sha tak?” Soal Faisal.

Farisha pantas memberikan kad peribadinya. Faisal terima dengan senyum lebar. Kemudian lelaki itu masuk ke dalam Bentley Continental GT V8. Dan kereta mewah itu terus memecut pergi.

Farisha teringatkan kad perniagaan pemberian Faisal. Dicarinya dalam tas tangan. Jumpa. Dibacanya dengan teliti maklumat yang tertera pada kad itu.  Setiap tulisan pada kad itu seolah-olah menjelmakan senyuman Faisal. Manis. Farisha tersenyum. Baik betul lelaki itu. Tak dikenali tetapi sudi membantu.

“Hei, ingat ini office bapa sendiri ke? Orang lain tengah buat kerja dia boleh mengelamun!” Segah satu suara memetir!

Farisha terperanjat. Mujur tak terlatah!

“Saya dah suruh awak datang jumpa saya kan? Tak cukup besar ke memo tu?” Faliq Zaquan masih lagi bersuara dengan lantang.

Melihat Farisha yang masih diam, Faliq terus memberi arahan.

“Masuk sekarang! Bawa sekali rekaan ruang tamu untuk banglo Datin Maizurah sekali!” Usai memberi arahan, Faisal terus ke biliknya. Pintu dihempas. Kuat bunyinya. Rakan-rakan sepejabat sekadar memandang simpati.

Farisha membuat muka tidak berperasaan. Dengan hati yang sebu dia melangkah masuk ke pejabat Faliq Zaquan. Tangannya membimbit fail yang menyimpan rekaan ruang tamu banglo Datin Maizurah. Hatinya sudah nekad. Hari ini dia tidak akan diam. Dia akan melawan! Farisha hanya akan mengalah kepada yang layak menerimanya sahaja. Bukan kepada manus ego dan bongkak seperti mamat sewel bernama Faliq Zaquan itu!

Tanpa mengetuk pintu, Farisha menonong masuk ke dalam bilik Faliq Zaquan. Tanpa disuruh dia duduk bertentangan di hadapan ketua barunya itu. Fail dibuka dan rekaan yang disediakan sehingga awal pagi tadi diserahkan kepada Faliq Zaquan. Beberapa ketika ada jeda antara mereka. Farisha memandang siling. Faliq pula meneliti rekaan. Tetapi kesenyapan itu hanya seketika.

“Farisha, apa yang awak buat ni? Saya suruh awak buat penambahbaikan. Bukannya menjahanamkan rekaan awak yang sedia jahanam sebelum ni! Suara Faliq Zaquan meninggi. Farisha seperti sengaja mengujinya. Rekaan semalam jauh lebih baik tetapi masih ditegur olehnya. Tetapi apa yang dihidangkan sebentar tadi begitu meleset daripada jangkaan. Sangkanya ego Farisha akan tercalar dengan teguran semalam. Dan kerana itu Farisha akan tampil dengan rekaan yang lebih eksklusif.  Sebaliknya apa yang baru disaksikan oleh Faliq, jauh tersasar. Rekaan ini seperti pelajar praktikal yang langsung tiada pengalaman!

“Awak nak saya buat sangat kan? Hah, tu saya dah buatlah tu.” Farisha membalas.

“Awak jangan nak main-mainkan saya Farisha! Saya bos awak dekat sini tau! Jangan buat syarikat ini serupa milik bapa awak sahaja!” Faliq Zaquan enggan mengalah. Baginya Farsha sengaja mahu mencipta masalah dengan rekaan merapu itu.

“Fine, awak bos dekat sini. So, saya akan resign 24 hours. And rekaan ni semua, just go to the hell.” Suara Farisha nyaring membingit. Suaranya itu selari dengan perbuatan. Tangannya lincah mengeluarkan beberapa helai kertas yang mengandungi rekaan sebenar yang telah ditambah baik. Ditalakan betul-betul pada pandangan Faliq Zaquan. Kemudian Farisha mengoyakkan kesemua rekaan itu lalu melempar ke arah muka Faliq.


“Nak buli saya sangat kan? Now, rekaan untuk Datin Maizurah punya ruang tamu dah kojol! Pandai-pandailah awak settle sendiri. Good bye! Adios!” Selesai berkata-kata Farisha keluar dari bilik Faliq Zaquan. Partition miliknya dihampiri. Barangan peribadi dikemas. Tidak sampai 30 minit dia sudah meninggalkan pejabat itu. Surat peletakan jawatan akan dititipkan menerusi Ikram kemudian. 


[Bersambung]

2 Komentar

Write Komentar
Tanpa Nama
AUTHOR
2/9/13 11:29 PTG delete

WOW... best bla brgduh cmni... chaiyok miss writer. :D

Reply
avatar
4/9/13 11:53 PTG delete

@Tanpa Nama Erk, Mr Writer actually ;P

Reply
avatar