Selasa, Ogos 20, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 4


Farisha kelewatan. Pertemuan dengan Datin Maizurah tidak berjalan lancar. Ada sahaj yang tidak kena pada pandangan wanita di usai pertengahan abad itu. Farisha lelah! Kadang-kadang kerenah pelanggan yang terlalu cerewet sungguh merimaskan. Tetapi dia tidak punya pilihan. Farisha bukan bos untuk senang-senang membatalkan sesuatu urusan. Dia hanya kuli yang makan gaji. Ada ketika terlintas di fikirannya untuk berhenti dan bekerja di syarikat milik papanya sahaja. Tetapi fikiran sebegitu dicantas sehingga itu sahaja. Buah fikiran yang datang ketika kekusutan ada saatnya hadir menerusi bisikan syaitan. Makanya, bisikan-bisikan seperti itu Farisha tidak ambil kira. Lagi pula hanya sebilangan pelanggan sahaja yang cerewet, selebihnya memang sering memuji hasil rekaannya.

Hon kenderaan yang berbunyi dari belakang menyedarkan Farisha daripada lamunan. Agak lama Mazda 6 miliknya berhenti di hentian isyarat bulatan Seberang Jaya membuatkan fikirannya terbang melayang. Menyedari khilaf di pihaknya, Farisha pantas menurunkan break tangan dan menekan pedal minyak. Mazda 6 merah itu dipandu menuju bangunan yang menempatkan OOTB Creative.

Farisha sedikit gopoh. Tanpa melihat Vintage Omega yang tersarung di pergelangan tangannya sekalipun dia sudah maklum bahawa kali ini dia benar-benar terlewat.  Bukan seminit dua bahkan lebih daripada itu. Jam tangan diintai sekilas. Jarum menunjukkan 2.20 minit petang. Maknanya da sudah terlewat 20 minit. Ini semua gara-gara Datin Maizurah. Perbincangan yang sepatutnya menjadi mudah bertukar jadi sukar. Pelbagai perubahan terpaksa dilakukan pada rekaan yang telah disediakannya itu.

Ketika hendak meninggalkan banglo kepunyaan wanita korporat itu, tiba-tiba sahaja dia diajak sama untuk meninjau taman di perkarangan banglo mewah itu. Pada mulanya  Farisha menolak. Tetapi apabila Datin Maizurah menyebut nama Tuan Haji Minhad Muhaimin, bos besar OOTB Creative, Farisha sudah tidak mempunyai pilihan lagi. Kata Datin Maizurah, pasti Tuan Haji akan marah jika mengetahui ada di antara para pekerjanya  yang tidak pandai menjaga hati pelanggan-pelanggan OOTB Creative.  

Bagi Farisha pula, bukan kemarahan Tuan Haji Minhad Muhaimin yang digeruni, tetapi kepuasan pelanggan yang menjadi keutamaan prinsip diri.  Lalu jika kesudiannya memberikan pandangan dan buah fikiran tentang taman di astana itu mampu menggembirakan hati Datin Maizurah, maka dia akan menuruti kemahuan wanita elegan itu. sejujurnya, Farisha sendiri tak pasti mengapa tiba-tiba pandangan dirinya dituntut. Sedangkan rekaan dalaman ruang taman banglo itu yang disiapkannya itu pun dikritik oleh Datin Maizurah. Jadi untuk apa khidmatnya ditagih untuk halaman laman pula? Tambahan pula skop kerja Farisha di OOTB Creative tidak meliputi seni hiasan laman dan taman. Barangkali jambangan lili putih yang diberikan awal tadi, mungkin?

Farisha sudah sampai di ruang pejabat. Pintu kaca ditolak. Penyambut tetamu masih setia dengan senyuman. Isyarat mata Ika, penyambut tetamu di OOTB Creative sudah cukup menunjukkan bahawa dia sudah terlewat untuk menghadiri mesyuarat tergempar pada petang itu. bergegas Farisha ke bilik mesyuarat. Dia sudah tidak punya masa untuk merapikan penampilannya. Bilik mesyuarat terus diterpa. Tetapi malang bagi Farisha. Bagaikan nangka busuk, dia jatuh terduduk di situ. Seluruh isi bilik mesyuarat memberikan perhatian kepadanya.

Farisha mengadu kesakitan. Tetapi hanya perlahan bunyi suaranya. Seakan-akan berbisik. Takkanlah dia mahu menjerit sakan macam dalam sinetron Indonesia pula kan? Dia cuba bangun. Tetapi kakinya tidak stabil. Baru Farisha perasan sebelah tumit tingginya sudah patah. Patutlah dia boleh terjatuh. Entah macam mana boleh patah pun dia tidak tahu. Bukannya dia beli di Jalan Tunku Abdul Rahman atau Petaling Street. Ini tumit tinggi original punya tau! Dah nasib dia petang itu, nak buat macam mana. Sabar sajalah Farisha!

Tidak mahu meneruskan drama sebabak, Farisha pantas menanggalkan kasut tumit tingginya. Hujung jemari memegang tali sepasang kasut tumit tinggi. Dan dengan selambanya Farisha berjalan menuju ke arah teman-teman sepasukannya yang sedang memerhatikannya dengan wajah simpati. Sampai di sebelah Ikram, Farisha duduk. Tempat kosong itu memang untuknya. Sudah dia seorang sahaja yang belum mengisi ruang kosong dalam bilik mesyuarat itu. Tumit tinggi dilepaskan ke bawah. Permaidani tebal yang mengalas lantai di bilik mesyuarat itu menghalang sebarang bunyi daripada tindakan spontannya yang bagaikan melepas geram kepada tumit tinggi itu!

Tuan Haji Minhad Muhaimin berdeham. Barangkali ingin membawa kembali situasi bilik mesyuarat kepada perbincangan yang sudah tertangguh ekoran insiden yang tidak diundang.

“Hurmm, Farisha baru habis perbincangan dengan Datin Maizurah ke?” Tanya Tuan Haji Minhad Muhaimin. Pandangan mata bos besarnya itu memang betul-betul menikam sepasang anak mata Farisha.

“Ya, Tuan Haji. Sebenarnya perbincangan tentang rekaan ruang tamu banglo tu dah habis awal. Tapi lepas tu, Datin ajak saya tinjau taman di perkarangan banglo, nak minta pandangan saya katanya. Saya nak tolak pun rasa serba-salah. Datin Maizurah kan pelanggan tetap dan setia OOTB Creative. Lagipun Encik Amran Hakimi ada pesan dekat saya suruh layan Datin Maizurah elok-elok.” Terang Farisha. Sempat lagi dikaitkan nama Encik Amran Hakimi. Kononnya mahu lelaki itu menyokongnya.

“Saya tahu, Farisha. Datin dah mesej saya beritahu awak akan masuk lambat. Saya tak marah. Malah saya puji sikap awak yang sanggup layan permintaan tambahan pelanggan. Mana tahu selepas ni, Datin Maizurah mahu gunakan khidmat kita untuk ubah suai taman dia pula? OOTB Creative juga yang untung kan?” Balas Tuan Haji Minhad Muhaimin pula.

“Oh ya, awak dah ketinggalan satu makluman penting. Tak mengapa saya ulang sekali lagi. Mulai esok saya akan bercuti hingga ke pertengahan Syawal. Saya dan isteri nak ke tanah suci. Dan sementara itu Encik Amran Hakimi akan ambil alih tempat saya buat sementara. Manakala, anak saudara saya, Faliq Zaquan akan meneruskan kerja-kerja Encik Amran Hakimi. Pendek kata, Faliq akan jadi bos kecil awak mulai esok!” Jelas Tuan Haji Minhad Muhaimin sambil mengunjukkan tangan kepada seorang jejaka yang duduk bersebelahan dengannya.

Mata Farisha terjojol saat terpandangkan lelaki itu. Faliq Zaquan. Nama baru pertama kali dia dengar. Tetapi rupa lelaki itu, masuk yang ini sudah tiga kali dia bertembung. Takdir apakah ini Tuhan? Kenapa mamat sengal bermulut puaka ini harus menjadi bos kecilnya? Tambah-tambah waktu sibuk di musim perayaan sebegini. Farisha sendiri baru berkira-kira untuk membincangkan dengan lebih terperinci dengan bos kecilnya tentang ubah suai pelan hiasan dalam ruang tamu Datin Maizurah. Jika mulai esok, Encik Amran Hakimi akan mengambil alih posisi Tuan Haji Minhad Muhaimin, maknanya, dia terpaksa berhadapan dengan mamat sengal itu untuk membincangkan skop kerjanya!  Oh My Gucci!

Ah, nampak gayanya aku memang kena baca buku yang mamat itu beri di awal pagi tadi.  Bisik hati Farisha sambil tangannya menyelak beg tangannya, lalu terserlahlah judul buku yang diberikan Faliq Zaquan tadi. ‘Indahnya Sabar’. Macam tahu-tahu pula dia yang aku memang amat memerlukan kesabaran selepas ini!

******

Di OOTB Creative, Farisha resah memikirkan hari-hari mendatang yang terpaksa dilalui bersama Faliq Zaquan. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku di banglo mewah Datin Maizurah. Wanita separuh abad yang masih elegen itu sedang bersantai di sofa Cleopatra. Sambil jari-jemari membelek majalah Saji keluaran terkini, bibir wanita itu mula senyum sumbing. Sebenarnya fikiran Datin Maizurah sedang hanyut. Hatinya sudah jatuh suka pada Farisha. Lantaran itu dia bersikap terlebih cerewet dan mengada-ngada pada hari itu. Itu merupakan ujian pertama buat Farisha. Ujian kedua, apabila dia meminta Farisha melihat dan meninjau taman di perkarangan banglonya. Pada awalnya gadis itu keberatan kerana mempunyai komitmen tugas di pejabat. Tetapi akhirnya Farisha setuju juga.  Secara tidak langsung Farisha sudah lulus dalam dua ujian yang dilakukannya pada hari itu.

Datin Maizurah bukan saja-saja mahu menguji Farisha. Dia sekadar mahu tahu sejauh mana kesabaran dan sifat-sifat dalaman lain tentang gadis itu. Kata orang jika sedang marah dan tertekan, manusia akan mempamerkan sikap yang sebenar kerana tidak mampu berpura-pura pada ketika itu. Sejauh mana kebenarannya, Datin Maizurah tidak tahu. Apa yang dia tahu, Farisha sudah lulus tahap pertama untuk menjadi bakal menantunya! Ya, bakal menantu. Dia mahu padankan Farisha dengan anak teruna bongsunya, Faisal Fathuddin. Anak teruna yang sudah hampir ke pertengahan 30-an tetapi masih membujang. 

Lagipun, Farisha bukan siapa-siapa. Anak kawan lama. Kebetulan Datin Maizurah terjumpa Datin Khalidah di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu. Dan ketika itulah terbuka cerita tentang Farisha. Datin Maizurah yang sudah lama berurusan dengan Tuan Haji Minhad Muhaimin, mudah saja menjalankan misi untuk meminta Farisha mereka hias ruang tamu banglonya dengan tujuan mengenali rapat gadis itu.

“Harap-harap rancangan aku ni akan menjadi.” Spontan terluah bicara di bibir Dtain Maizurah.

Bibik yang kebetulan sedang mengemas di situ berasa hairan. Datin Maizurah sedang bercakap dengannyakah?

“Apa yang akan jadinya, Datin?” Tanya bibik polos.

Datin Maizurah terkejut pula dengan suara bibik yang terlebih merdu menyapa gegendang telinganya.

“Sibuk ajalah kamu ni, Sari! Ada aku cakap dengan kamu ke? Dah, pergi masuk dapur, buat apa yang patut untuk berbuka nanti.” Arah Datin Maizurah.

Bibik hanya menurut. Sebagai pekerja yang agak lama di banglo itu, bibik sudah masak dengan fiil majikannya. Sarang tebuan usah dijolok!



[Bersambung]

1 Komentar:

Write Komentar
Nik Ainaa
AUTHOR
20/8/13 11:18 PTG delete

NICE ^_^

btw singgah follow sini dari http://nikainaa.blogspot.com/2013/08/mini-giveaway-by-puteri-nina.html

(follower 1700)

Reply
avatar