Jumaat, Ogos 16, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 3



Seperti biasa sebelum pukul 8.00 pagi, Farisha sudah sampai ke pejabat. OOTB Creative tidaklah jauh mana dari rumahnya. Dari Lorong Sembilang ke Bandar Sunway sekitar 10 hingga ke 15 minit perjalanan sahaja. Jadi tak perlulah Farisha keluar awal untuk ke tempat kerja. Memadai cukup-cukup waktu sahaja. Pagi itu Farisha mengenakan Khaki Mival berwarna putih menutupi sepasang kakinya daripada pandangan mata yang bukan mahram. Seluar itu dipadankan dengan blouse batik coklat dan hitam  krah-V neck bermotifkan abstark. Kepalanya dilitupi dengan tudung Ariani putih bermotifkan sulaman bunga kecil yang punya warna senada dengan blouse yang dikenakan. Beg tangan Coach dan tumit tinggi jenama Carlos berwarna silver dan dihiasi batu swarovski menjadi pelengkap gaya. Pendek kata dari hujung kepala hingga ke hujung kaki memang nampak sempurna. Apatah lagi wajah yang sedia menarik itu ditata rias dengan solekan ringkas dan gincu yang membuat seulas bibir Farisha tampak begitu menggoda!

Sampai di partition ruang kerjanya, Farisha mula menyemak jadual. Rakan-rakan sepejabat yang lain juga sudah memulakan tugas masing-masing. Maklumlah, tugasan semakin banyak. Permintaan baru juga masih galak diterima oleh Encik Amran Hakimi. Entahkan sempat siap atau tidak, Farisha sendiri pun tidak tahu. Diari hitam yang terletak elok di sudut meja diselak. Tarikh pada hari itu diperiksa.  Ada satu temu janji dengan tuan punya rumah di Bandar Perda pukul 10 pagi nanti. Ada masa kurang lebih dua jam lagi. Sementara menanti waktu temu janji, Farisha menyemak kembali lakaran hiasan dalaman ruang tamu yang disiapkan semalam untuk banglo Datin Maizurah. Konsep yang diminta pelanggannya itu moden kontemporari. Farisha ikut sahaja kehendak pelanggan. Cuma dia menambahkan kreativiti di sana sini. Termasuklah daripada pemilihan perabot dan fabrik sehinggalah kepada susun aturan di ruang tamu kepunyaan Datin Maizurah itu. Pening juga Farisha mencari idea. Tambahan pula, Datin Maizurah yang merupakan rugular customer itu agak cerewet. Ada sahaja yang tak kena pada pandangannya tiap kali menggunakan khidmat OOTB Creative. Mungkin sebab title Datin membuatkan ‘makcik’ seorang itu demand selalu!

“Hai, Sha! Sibuk?” Tanya Ikram yang tiba-tiba menjenguk ke partition Farisha.

“Hurmm, bolehlah. Yang kau pagi-pagi dah bersandar kat sini tak ada kerja ke?” Aju Farisha.

“Gila kau, tak ada kerja! Banyak kot kerja aku yang tak siap lagi. Rumah Datuk Mahfuz on the way, Encik Amran Hakimi dah bagi projek untuk rumah model popular Lily Maisara tu pula. Tak sangka pula aku, model popular tu nak guna khidmat OOTB Creative!” Teruja benar nada suara Ikram. Barangkali salah seorang peminat Lily Maisara mungkin!

“Ni, aku singgah nak bagi tahu, petang ni selepas lunch hour ada meeting tergempar, kau tahu tak?” Ikram terus menyampaikan tujuannya bertemu Farisha seawal pagi itu.

“Eh, ada meeting ke? Kenapa aku boleh tak tahu?” Farisha bertanya kembali sambil sekali lagi menyemak diari hitamnya. Kalau-kalau terlepas pandang. Tetapi serasanya tadi dia sudah semak dengan teliti, cuma ada satu temu janji pada hari ini. Tak ada pula dicatitkan mesyuarat dan sebagainya.

“Yang kau sibuk semak planner kau tu sebab apa? Dah namanya mesyuarat tergempar. Maksudnya last minute la bos decide. Kalau kau tengok diari tu sampai tembus sekalipun, sure takkan jumpa punya!” Ikram ketawa di hujung bicara.

Farisha tepuk dahi. Betul juga cakap Ikram itu. Mesyuarat tergempar kalau sudah diberitahu awal-awal tentang tarikh dan masanya, maka tak ada nilai langsunglah untuk perkataan tergempar itu.

“Dah la, aku nak sambung buat kerja. Jangan lupa meeting nanti. Aku sampaikan khas suntuk kau seorang ja ni. Dah la kau selalu masuk lambat tiap kali ada meeting, jangan lambat lagi kali ini sudah. Mana tau tiba-tiba bos besar masuk sekali tak ke kena sembur free. Kalau setakat Encik Amran Hakimi itu boleh adjust lagi.” Ikram sudah kembali ke ruang kerjanya usai menyampaikan pesanan.

Tinggal Farisha seorang kembali. Bila difikirkan kembali, betul juga cakap Ikram tu. Selalu juga dia masuk lewat setiap kali bermesyuarat. Tetapi selalunya semasa mesyuarat kecil dengan team mate hiasan dalaman mereka sahaja. Setakat in belum pernah dia terlewat masuk untuk mesyuarat besar yang menghimpunkan semua kaki tangan seperti mesyuarat tergempar yang bakal diadakan selepas waktu makan tengah hari nanti.

******

Farisha sudah mula berkemas. Jam menunjukkan pukul 9.15 minit pagi. Bukan dia mahu pulang. Sebaliknya ke rumah Datin Maizurah di Bandar Perda.  Coach warna silver disambar. Bedak compact disapu sedikit ke serata wajah. Diambil pula pelembap bibir. Dioles pada bibirnya yang sedia menawan. Saat kakinya mula melangkah meninggalkan ruang kerja, ada satu suara yang memanggil.

“Sha!”

Fraisha berpaling. Rupanya Encik Amran Hakimi. Mahu apa bos kecilnya itu. Farisha sekadar berteka-teki dalam fikiran.

“Sha, awak nak ke rumah Datin Maizurah kan?” Aju Encik Amran Hakimi sejurus berhadapan dengan Farisha.

“Yup, that’s right!” Balas Farisha pendek.

“Ermm, saya nak awak belikan Datin sejembak lili putih. Datin tu dah lama juga berurusan dengan OOTB Creative, jadi big boss nak kita jaga hubungan baik dengan Datin.  And for your information, white lily maybe boleh tolong awak berurusan dengan Datin yang cerewet tu.” Jelas Encik Amran Hakimi tentang tujuannya memanggil Farisha.

Kening Farisha terjongket sebelah. Macam ini pun ada? Jadi lili putih ni kira macam bagi rasuah la ni? Eh, bukan rasuah tapi lebih kurang cenderahati. Ya la tu. Dulu sebut cenderamata. Habis tu, bila ramai yang pertikai perkataan cenderamata lebih kepada nak mengaburi mata, tukar pula kepada cenderahati, kononnya macam nak jaga hati. Padahal pi mai, pi mai dok tang tu jugak! Tak faham Farisha. Apapun yang penting ialah niat. Dan niat Encik Amran Hakimi dan big boss OOTB Creative memang tak salah.

“Okay, Encik Amran. Nanti sebelum ke banglo Datin, saya dapatkan sejambak lili untuknya.” Balas Farisha dengan seulas senyuman manis.

Encik Amran Hakimi sekadar mengangguk kecil. Nasib baik dia sudah berkahwin. Kalau tidak boleh terjatuh juga hatinya melihat Farisha yang sentiasa murah dengan senyuman setiap kali berurusan dengannya.

Farisha meneruskan langkah ke arah lif. Seperti biasa Mazda 6 kesayangannya menjadi teman setia membawanya ke mana-mana. Ramai yang persoal tentang keupayaannya menggunakan kereta yang boleh dikategorikan sebagai mewah. Begitu juga personalitinya yang sentiasa menggunakan barangan dan perkhidmatan yang berjenama. Mungkin ada yang sangsi, dengan pekerjaan dan usia mudanya itu memungkinkan semua itu dimiliki. Tetapi tidak ramai yang tahu papanya merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Bahkan Farisha sendiri mempunyai saham di dalam syarikat papanya itu. Dan setiap bulan keuntungan akan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun peribadinya. Wang yang dimasukkan itu pula bukan sedikit jumlahnya. Makanya, tidak mustahil untuk Farisha dapatkan apa-apa sahaja yang dia mahu.

Bezanya Farisha dengan anak orang berada yang lain, dia tidak suka menunjuk. Bahkan Farisha tidak mahu berada di bawah ketiak keluarga. Kerana itu dia memilih keluar dari ibu kota. Memilih bekerja di syarikat lain untuk menimba pengalaman. Sedangkan papanya sendiri mempunyai syarikat interior design yang gah di Kuala Lumpur. Jenuh papa dan mama membebel, bila dia menyuarakan hasrat untuk bekerja di syarikat lain. Lagi teruk, mamanya sampai merajuk bila dia menyuarakan hasrat untuk merantau ke negeri lain. Sampaikan, mamanya menuduh dia tidak sayangkan famili. 

Masakan tidak? Farisha sudah habiskan lima tahun di luar negara menuntut ilmu pengetahuan dalam jurusan hiasan dalaman. Negara pilihannya pula nun jauh di Kota Paris. Bila kembali ke tanah air, Farisha mahu merantau lagi. Kali ini di dalam negara cuma berlainan negeri. Ibu mana yang tidak berkecil hati. Apatah lagi, Farisha satu-satunya puteri dalam keluarga mereka. Datin Khalidah mempunyai empat orang anak lagi hasil perkongsian hidup bersama Datuk Akhbar. Cuma Farisha satu-satunya anak perempuan. Biar usia Farisha sudah matang, kebimbangan seorang ibu itu tetap ada. Justeru, Datin Khalidah menetapkan syarat, jika Farisha mahu merantau, hanya Pulau Pinang sahaja yang dibenarkan. Itupun sebab nenek Farisha tinggal di negeri itu.

Farisha senyum simpul sambil memandu. Boleh pula fikirannya menerawang hingga memikirkan perihal mama dan papa. Barangkali rindu mungkin. Mazda 6 dihentikan di seberang jalan berhadapan dengan sebuah kedai bunga. Keluar saja dari kereta, Farisha terus masuk ke kedai Spicy Florist. Farisha memang biasa dengan kedai bunga ini. Sesuai dengan namanya, kedai itu memang menawarkan gubahan yang cantik dan pedas mata memandang. Sejambangan lili putih dipesan. Kreativiti gubahan diserahkan seratus peratus kepada pekerja Spicy Florist. Farisha tak kuasa nak fikirkan konsep gubahan bunga untuk Datin Maizurah.

Tak sampai 10 minit gubahan dah siap. Itu yang dia suka singgah ke Spicy Florist. Cekap, pantas dan gubahannya ada taste! Farisha membayar harga gubahan lili yang cantik itu. Berapa harganya dia tidak kisah. Balik pejabat boleh claim kembali. Lagipun itu bukan idea dia, tetapi arahan pihak atasan. Keluar dari Spicy Florist, pintu belakang Mazda 6 dibuka, dan jambangan lili diletak elok. Tatkala ditutup kembali pintu keretanya, dahi Farisha mula berkerut.

“Hantu mana yang parking kereta macam ni?” Farisha tension. Vintage Omega dilihat sekilas. Sudah 9.45 pagi. Tinggal 15 minit sebelum waktu temu janji.

“Siapa pula la, yang letak kereta serupa tak pernah pergi driving school?” Bebel Farisha lagi. Sambil itu, matanya dikitarkan sekitar kawasan itu. Mana tahu ada tuan punya kenderaan di mana-mana. Memang ada manusia yang lalu-lalang. Tetapi semuanya serupa tak kisah dengan Almera putih yang diparkir menghimpit keretanya itu.

Farisha mundar-mandir. Masa semakin berlalu. Jika dia terlewat, alamatnya pasti melenting Datin Maizurah. Saat itu lili putih juga pasti tidak akan dapat membantu. Encik Amran Hakimi pasti akan memberi tazkirah percuma. Lebih malang lagi kalau big boss turut berkhutbah.  Tambah, selepas lunch hour ada meeting tergempar. Kalau isu ini dibangkitkan di hadapan semua orang tak ke malu. Tahu sajalah Datin Maizurah yang suka berdrama. Pasti ditokok tambah cerita ke pihak atasan. Farisha tidak sanggup berhadapan dengan semua itu. Fikirannya perlu dilapangkan untuk bereksperimentasi dengan kreativiti bukannya disemakkan dengan benda-benda remeh-temeh.

Tanpa berlengah, Farisha masuk ke ruang pemandu Mazda 6. Hon kereta ditekan berulang kali. Bingit bunyinya. Mereka yang lalu-lalang memberi perhatian. Cuma sejenak. Kemudian masing-masing menyambung hal sendiri.  Farisha tidak berhenti. Selagi tuan punya kereta Almera tidak sampai selagi itu di akan membunyikan hon. 

Selang beberapa ketika ada seorang lelaki keluar dari kedai buku bersebelahan dengan Spicy Florist. Orangnya nampak bergaya. Seluar slack putih dipadankan dengan kemeja lengan panjang pink. Nampak seksi pula warna pakaian itu melekap di tubuh sasa lelaki itu. Eh, kenapa lelaki itu seperti menghampiri Farisha? Hati dan perasaan mula berkocak. Jantung Farisha mula bergendang bagaikan genderang perang. Farisha, behave! Sekarang ni bulan puasa, jangan menggatal sangat! Ingat Farisha jangan bagi nampak desperate walaupun kau dah nak masuk kelab 30-an!

Cermin Mazda 6 merah Farisha diketuk. Terkejut Farisha dibuatnya. Betullah. Sexy pink itu yang ketuk. Maksudnya bukan dia berangan tadi. Memang lelaki itu sedang berjalan menuju ke arahnya.  Cermin kereta diturunkan.

“Ya, encik ada apa?” Tanya Farisha sopan. Keayuan kena control. Saham kena jaga!

“Hai, sopan pula singa betina hari ni!” Sexy pink bersuara.

Terus berdesing telinga Farisha. Macam pernah dengar suaranya. Ditenungnya muka lelaki yang sedang elok bersandar pada Mazda 6 miliknya. Hah, dia?

“Awak?” Terlopong sedikit mulut Farisha.

“A,ah, sayalah! Sexy and hot in pink! Kening lelaki itu terjongket.

Farisha terdiam. Aku berangan saja kan tadi? Atau aku terlepas cakap ke? Macam mana mamat tu boleh tau apa yang ada dalam fikiran aku tadi? Farisha bergumam di dalam hati.

“Perasan! Eh, mamat poyo, dah lah semalam awak kutuk saya macam-macam, hari ini pun awak nak cari fasal erk? Suka hati awak saja panggil saya singa betina! Awak ni tak ada kerja ke hah? Pagi-pagi dah cari saya, ajak bergaduh?” Farisha mula hilang sabar.

“Ek eleh, awak ingat, awak tu Miss Universe atau paling tidak pun model terkenal, sampai nak saya tercari-cari. Ini kalau awak tak macam perempuan gila talak duduk bunyi hon, tak ada maknanya saya nak datang tau!” Balas lelaki itu pula.

“Oh, maknanya, Almera putih ini awak punyalah?” Farisha sudah mula membuka pintu keretanya. Dia mahu berhadapan dengan lelaki itu. Dengan mamat poyo ini dia tak perlu control ayu.

“Eh, mamat poyo! Awak ambil lesen dekat mana hah? Pakai rasuah erk? Parking pun tak betul! Awak tahu tak yang perbuatan awak tu dah menyusahkan saya. Saya ada banyak kerja tau! Bukan macam awak yang kerjanya asyik cari gaduh dengan orang. Dah la parking himpit kereta orang, lepas tu tak tahu nak minta maaf. Yang dia tahu cari fasal saja. Saya tak pernah la jumpa dengan orang macam awak ini. Suka-suka hati kata orang itu, ini! Tak pernah tau! Tak pernah!!” Puas Farisha meluahkan perasaan. Rasa geram dimalukan semalam digabung dengan peristiwa pagi ini membuatkan Farisha benar-benar hilang sabar.

Sexy pink! Eh, tak ada maknanya sexy lagi! Mamat poyo tak kata apa-apa. Eh, dah surrender ke? Hati Farisha berbisik.

Lelaki itu hanya diam. Wajah Farisha yang sudah merah dipandang sekilas. Kemudian beg plastik yang dijinjingnya dari tadi dibuka. Sebuah buku diambil. Kemudian tapak tangan Farisha ditarik. Buku yang diambil tadi diletakkan di atas tapak tangan Farisha. Lelaki itu kemudian bergerak ke aras Almeranya. Masuk dan hidupkan enjin. Kemudian pecut berlalu. Tinggal Farisha lagi di situ. Semalam pun Farisha juga yang ditinggalkan. Hari ini pun sama! Buku yang ada di tangan berada dalam keadaan terbalik. Farisha tidak jelas akan judulnya. Tatkala kulit hadapan buku ditatap, biji mata Farisha terjojol. Judul buku itu ‘Indahnya Sabar’. Farisha sentap. Makan dalam kot! 



[Bersambung]