Khamis, Ogos 15, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 2


Mazda 6 berwarna merah saga diparkir di sebelah jalan. Pejabat tempat mencari rezekinya tidak jauh dari bazar Ramadhan ini. Farisha keluar dari kenderaan. Orang ramai masih lagi bersesak mencari juadah berbuka puasa. Tanpa membuang masa, Farisha mula menyeberang jalan. Kanan dan kiri jalan raya diperhatikan. Bila tiada kenderaan baru dia mula melintas. Tak sanggup dia perjudikan usia. Sudahlah muda lagi. Kahwin pun belum! Sambil berjalan, Farisha mula memikirkan juadah apa yang mahu dicari untuk waktu berbuka nanti. Nafsunya bukanlah besar, tetapi setiap kali melihat pelbagai jenis makanan, mesti terasa mahu dibeli. Sudahnya, dia makan sedikit sahaja. Selebihnya masuk ke dalam perut dua orang teman serumahnya, Watie dan Saleha.

Gerai pertama yang dikunjungi oleh Farisha ialah gerai yang menjual kuih-muih. Farisha memang suka makan kuih. Pantang bila berpuasa, tak kisah hari biasa atau di bulan Ramadhan, mesti kena ada kuih yang tersedia ketika waktu berbuka. Farisha tidak betah makan makanan yang berat seperti nasi, mee dan seumpamanya ketika berbuka. Dia hanya akan menjamah kuih-muih dan buah-buahan terlebih dahulu. Kemudian, usai solat baru dia akan menjamah sedikit makanan berat. Bukan diet atau menjaga badan, tetapi seleranya memang menurun tiap kali berpuasa mencari keredhaan Tuhan.

Tiba di sebuah gerai yang menjual aneka jenis kuih, Farisha pantas memilih kuih-muih yang berkenan di hati. Hari ini dia memilih Lopes, Seri Muka, Kuih Lapis dan Lompang. Semuanya dia suka. Cukuplah rasanya untuk mereka bertiga. Kemudian, Farisha mula mencari gerai yang menjual murtabak. Teringat pesanan Watie semalam, yang teringin makan murtabak untuk berbuka hari ini. Bukan Watie tidak boleh pergi membeli sendiri. Tetapi mereka mengamalkan sistem giliran. Farisha, Watie dan Saleha akan bergilir-gilir membeli juadah berbuka di bazar. Ketiga-tiga mereka merupakan wanita berkerjaya. Maka, tiada masa untuk memasak di rumah kecuali pada hujung minggu.

Murtabak untuk Watie sudah dibeli. Begitu juga dengan Nasi Tomato Daging untuk Saleha. Sekarang tinggal untuk dirinya sahaja.

“Apa erk yang aku nak makan lagi?” Farisha mengajukan pertanyaan kepada diri sendiri.

“Hurmm, jalan-jalan dululah. Tengok mana yang berkenan nanti!” Lantas kedua-dua belah kakinya mula mengitar kawasan bazar Ramadhan di Seberang Jaya itu. Agak luas juga kawasan bazar ini. Bermacam-macam aroma makanan sedang menembus rongga hidungnya. Namun sedikitpun tidak menggugat nafsu makannya. Dia bukan budak kecil yang baru mahu belajar berpuasa. Setiap satu jam mengira detik untuk berbuka!

Farisha sampai di hadapan sebuah gerai. Lepas itu, sepasang kakinya dah tak bergerak-gerak lagi. Nak tahu kenapa? Sebab gerai itu menjual Nasi Biryani. Farisha memang gila dengan Nasi Biryani. Apatah lagi bersusun lauk-pauk atas meja. Pantas dia mula mendekat. Sempat lagi dia menghidu aroma yang lazat. Nasi Biryani Daging itu diminta satu. Kemudian, sambal merah udang galah yang begitu menggoda itu dipilihnya sebagai lauk tambahan. Dalam hati, bukan girang kepalang.  Dah lama tak makan udang galah.

Usai mendapatkan juadah, Farisha kembali mengatur langkah. Jam tangan Vintage Omega diperhatikan sekilas. Jarum menunjukkan pukul 6.40 petang. Tinggal kurang lebih sejam sebelum berbuka. Mujur tempat tinggalnya tidak berapa jauh dari tempat kerja. Dan bazar ini pula memang hampir dengan OOTB Creative. Sedang asyik memikirkan sama ada jalan akan sesak atau tidak, tiba-tiba sesuatu yang tak terjangka berlaku. Farisha terlanggar seseorang. Bukan sekadar langgar biasa. Perlanggaran antara seorang lelaki dan wanita. Lebih malang, perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mereka basah!

******

Air Sunquick dituang ke dalam setiap gelas yang terhidang di atas meja. Watie yang membancuh air itu. Mukanya monyok sahaja. Farisha seolah-olah sudah hilang fiil untuk berbuka puasa pada hari itu. Dijeling sekilas hidangan di atas meja. Semua hidangan yang dibeli sudah tersedia. Cuma menunggu masa untuk menjamah sahaja.

“Hang ni pasai apa, Sha? Awat aku tengok hang dok masam mencuka dari tadi? Cuba habaq mai sikit kat aku.” Saleha yang memang anak jati Pulau Pinang mula memecah kebisuan antara mereka. Muka monyok Farisha sedikit merimaskannya. Bagi Saleha, banyak mana masalah sekalipun jangan dibawa pulang ke rumah, apatah lagi depan rezeki seperti ini. Tak baik, kata orang-orang tua.

“A’ah, aku pun perasan juga. Kau ada masalah ke Sha? Kalau ada ceritalah dekat kami, mana tahu boleh tolong? Watie pula menyampuk.

Belum sempat Farisha membuka mulut menjawab pertanyaan teman-temannya, azan Maghrib sudah berkumandang lewat Mutiara FM yang sedia terpasang. Dengan lafaz Bismillah, tangan ditadah dan doa berbuka puasa di baca. Diikuti pula dengan doa makan.  Buah tamar diambil sebiji. Maka, berbukalah tiga orang sahabat dengan penuh kesyukuran. Usah menjamah tamar, buah tembikai yang dipotong-potong kecil pula dicapai Farisha. Dijamahnya potongan buah tembikai merah itu satu demi satu. Watie dan Saleha juga senyap. Masing-masing enak menikmati hidangan Murtabak dan Nasi Tomato Daging. Perbualan mereka sebelum azan berkumandang terhenti begitu sahaja. Tidak ada yang seperti berminat untuk menyambung kembali. Baik dari pihak Watie dan Saleha, mahupun Farisha sendiri.

******

Solat Tarawih sudah selesai.  Farisha kini sedang beristirehat di dalam bilik. Rumah yang didiami mereka ini sekadar disewa. Bukan dia tidak mampu untuk membeli. Cuma dia sendiri tidak pasti selama mana dia akan merantau di Pulau Pinang. Sehingga kini sudah lima tahun. Lagi pula, neneknya masih ada dan tinggal di Balik Pulau. Tidaklah jauh mana. Cuma dia di tanah besar dan neneknya di sebelah pulau.

Farisha bermalasan di tepi jendela. Sengaja dibiarkan terbuka. Biar angin malam menghembus ke kamarnya. Malam-malam bulan puasa mana ada orang kena kacau dengan hantu? Bukankah semua Syaitan dah kena gari! Pandangan mata di biar lepas ke dada langit. Nampak kelam dan hitam. Tak ada satu bintang pun yang nampak di mata. Terasa sayu pula di hati Farisha. Entah kenapa, tiba-tiba saja rasa itu datang menerepa. Apakah kerana dia masih bersendiri seperti sang rembulan yang sunyi tanpa bertemankan bintang?

Nafas dihembus keluar perlahan. Jodoh itu bukankah aturan Tuhan? Entah kenapa fikirannya kacau. Sudah lama dia tidak berasa begini. Tidak betah melangut di tepi jendela seperti perempuan terdesak, Farisha bingkas menutup tingkap lalu bergerak ke peraduan. Sebelum itu, lampu kalimantang ditutup dan dipasangnya lampu tidur. Cahaya malap menerangi ruang bilik tidur utama yang terdapat dalam rumah teres dua tingkat itu. Saat kepala Farisha melekap di bantal, fikirannya menerawang peristiwa petang tadi di bazar Ramadhan.

“Eh, butakah apa?” Kasar sungguh suara itu menampar gegendang. Biarpun kepala juga sepasang telinga Farisha sudah dilitupi anak tudung sebelum dialas dengan tudung tiga layer Fareeda, tetapi kata-kata mamat seorang di hadapannya kini bagaikan bisa di pendengarannya.

“Awaklah, buta! Tak nampakkah yang mata saya yang bundar, cantik dan menawan ni masih elok? Ada saya pakai tongkat tak? Atau ada saya jalan teraba-raba?” Sembur Farisha kembali. Lelaki psiko perasan bagus seperti mamat di hadapannya itu bukan boleh dilayan sangat. Muka saja handsome tapi perangai hancur!

“Eh, ingatkan mata saja yang rosak, tak sangka mulut pun bau longkang!”

“Yang awak marah sangat ni kenapa? Saya terlanggar sedikit saja kan? Bukannya sampai terpeluk atau tercium awak?” Farisha mula membela diri walaupun dia tahu salah tetap ada juga pada dirinya yang mengelamun sambil berjalan tadi. Tetapi niat untuk meminta maaf terus mati apabila lelaki yang dilanggarnya itu berterusan menyemburnya.

“Sedikit awak cakap? Tengok ni!” Lelaki itu menunjukkan baju kemejanya yang basah dengan air tembikai yang tertumpah. Sudahlah baju kemejanya berwarna putih. Lagi jelas kesan merah air tembikai yang tumpah ekoran kecuaian gadis yang berada di depannya itu.

“Awak cakap macam baju awak seorang saja yang basah. Ni, tudung Fareeda saya pun kena tau! Tengok mulut saya ni, tudung Fareeda!” Farisha masih tidak mahu mengalah, sampai mahu mengeja perkataan Fareeda, iaitu antara jenama tudung yang agak mahal terdapat dalam pasaran tanah air.

“Huh, susah nak cakap dengan perempuan kepala batu macam ni! Siapalah yang malang dapat bini macam ini!” Lelaki itu mula mengibas-ngibas kemeja di bahagian dada.

“Eh, awak cakap elok-elok ya! Saya masih bujang lagi tau. Ikut sedap mulut dia saja nak sembur orang.” Farisha membetulkan kesalahan fakta dalam bicara lelaki itu.

“Oh, bujang lagi? Eloklah tu. Patut tak ada lelaki yang hendak. Muka dah okay. Perangai saja yang hangus. Mengalahkan singa betina yang tak mengawan setahun! Kalau macam ni la perangai awak, sampai ke tua la awak hidup membujang. Eh, dah la! Saya nak balik. Cakap dengan awak, dengan saya sekali boleh jadi sewel.” Lelaki itu kemudian berlalu pergi. 

Farisha juga yang terkedu seorang diri. Bila dia memerhati sekeliling baru dia sedar, ada banyak mata yang memandang. Ada yang melihat simpati. Ada yang tersenyum sinis. Ada juga yang langsung buat tak tahu.  Tidak betah berlama di situ, Farisha pantas mendapatkan Mazda 6 merah saga kesayangannya.


Mata masih tetap tidak mahu terlelap. Sudah beberapa kali dia mengalih ke kiri dan ke kanan. Tetapi minda dan hati tidak seiringan. Akal menyuruh untuk tidur. Tetapi hati tidak henti-henti memikirkan kata-kata lelaki itu siang tadi. Entah siapa namanya dia tidak tahu. Tetapi mulut lelaki itu cukup berbisa. Jarang dia melihat lelaki yang bermulut laser seperti itu. Bicara akhir lelaki itu sebelum melangkah pergi begitu mengganggu dirinya. Apakah dia akan berkeseorangan hingga ke akhir hayat tanpa seorang teman bernama suami?


[Bersambung]