Rabu, Ogos 14, 2013

Cerpen: My Sexy Abang - Bhg 1



Petang. Fajar pagi tadi sudah berlalu bergantikan mentari yang garang. Masa tetap akan berlalu. Tidak pernah mahu berhenti walau sesaat cuma. Rugilah mereka yang membuang masa begitu sahaja. Sesungguhnya detik-detik yang berlalu itu tidak pernah akan kembali. Walau ditangiskan darah sekalipun, yang berlalu tetap akan pergi kerana hakikat kejadiannya sudah begitu.

Farisha mengintai jam tangan Vintage Omega yang tersarung cantik di pergelangan tangannya kirinya. Sekali pandang tak macam jam tangan pun. Rekaan eksklusif dengan gabungan unsur bracelet menjadikan edisi Omega ini tampak mahal. Apatah lagi dihiasi butir-butir permata dan disadur emas putih. Memang akan mencuri mata sesiapa sahaja yang terlihatkan pergelangan tangan gadis itu.

“Huh, dah dekat 5.30?” Pertanyaan itu lebih kepada dirinya sendiri.

Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Terasa tidak cukup sehari untuk menyiapkan tugasannya. Peranannya sebagai pereka hiasan dalaman memerlukan tumpuan dan kreativiti yang tinggi. Kadang-kadang, penat lelah selama beberapa hari seakan-akan sia-sia sahaja apabila hasil rekaannya ditolak bos kesayangannya. Bukan salah Encik Amran Hakimi jika rekaannya dipandang sepi. Tetapi salah pelanggan yang tak menghargai hasil seninya! Eh, mana boleh salah pelanggan? Customers is always right, Farisha!

Farisha mula mengemaskan ruang kerjanya. Sudah hampir lima tahun dia bekerja dengan Out Of The Box Creative (OOTB Creative). Dan selama lima tahun ini juga dia selalu berfikir luar kotak untuk memberikan yang terbaik kepada para pelanggan syarikat tempat kerjanya. OOTB Creative menyediakan khidmat rekaan hiasan dalaman rumah dan laman. Adakalanya, tempahan rekaan hiasan untuk hotel dan bangunan-bangunan korporat juga kerajaan juga akan sampai ke meja mereka. Ada beberapa kelompok atau bahagian kerja di OOTB Creative. Farisha ditempatkan di bawah seliaan Encik Amran Hakimi, iaitu bahagian rekaan hiasan dalaman rumah. Bahagian ini hanya akan menguruskan rekaan hiasan dalaman rumah semata-mata. Tak kisahlah banglo, teres, semi-d, apartmen, waima rumah kampung sekalipun!

Tangannya lincah mengemaskan meja kerja. Ruang bawah meja dan sekitar partition tempat dia memerah idea juga dikemaskan. Serabut alamatnya lesaplah idea untuk kerja hari esok. Tambahan pula, permintaan bertambah sejak dua menjak ini. Almaklumlah, tak lama lagi nak raya. Hari ini baru lima hari puasa. Tetapi tempahan sudah dibuat oleh pelanggan sejak sebulan yang lalu pun ada. Kadang-kadang Farisha sendiri pun pening dengan sesetengah manusia yang lebih ghairah membuat persiapan menyambut Aidilfitri berbanding bulan Ramadhan sendiri.

“Ah, malaslah nak fikir! Lantaklah! Duit sendiri kan? Kalau tak ada tempahan, tak ada pula kerja karang. Habis tu, tak ada kerja, nanti nak makan apa?” Omelnya perlahan. Dengar tak dengar sahaja. Siap berkemas, Farisha memerhati sekeliling. Tinggal beberapa orang rakan sekerjanya sahaja yang masih setia dengan tugasan. Itupun semuanya yang bukan Muslim. Masing-masing khusyuk dengan tugasan sendiri. Pasti Ikram dan Manisah sudah pulang. Almaklumlah, bulan puasa. Sudah tentu mereka terkejar mahu sampai ke rumah berbuka bersama keluarga. Lainlah dia. Masih sendiri. Umurnya akan genap 30 tahun 1 Syawal ini. Tetapi dia masih belum punya sesiapa yang istimewa.

Farisha bukan tidak cantik. Memanglah tak serupa Miss Universe. Tetapi manisnya tetap ada. Dengan lesung pipit di sebelah kiri dan kulitnya yang putih gebu, memang pasti mencuri pandang mata sang arjuna. Bukan tidak ada lelaki yang mendekat. Tetapi Farisha yang susah untuk ditambat. Kisah lama bagaikan kuat melekat. Membuatkan Farisha sukar menerima mana-mana lelaki yang mahu menjerat!

Sekali lagi jam tangan Vintage Omega dijeling. Sudah 5.45 minit petang. Farisah sudah bazirkan 15 minit untuk mengemas. Ruangnya tak sebesar mana. Cuma kerja yang disertakan dengan fikiran yang melayang, pasti akan memakan masa yang lama. Menyedari kelewatan, pantas Prada berwarna hitam yang dihadiahkan seorang teman sempena ulang tahun kelahirannya yang lepas disambar. Kaki diatur ke arah lif. Punat ditekan. Dan dia menunggu tiba ke aras bawah, tempat Mazda 6 miliknya terpakir.

[Bersambung]

3 Komentar

Write Komentar
Sarinah Aini
AUTHOR
14/8/13 11:35 PTG delete

Alaaa....tgh siyokkk bace dah abisss..

Reply
avatar
14/8/13 11:41 PTG delete

@Sarinah Aini Tunggu sambungan yer... ;) Mlm sikit akn upload.

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
15/7/14 8:31 PG delete

Handsome nya admin :*

Reply
avatar