Selasa, September 25, 2012
Projek Memikat Suami

Daring,
sexy, delicious, naughty, hot and spicy! Deretan
kata-kata yang dikutip daripada bahasa asing ini sudah cukup memberi imbasan
bahawa betapa panasnya sebuah novel terbitan di bawah jenama Penulisan2u yang merupakan saudara Karya Seni. Menjadi bualan
panas di kebanyakan ruang perkongsian maya terutamanya di laman muka buku
menyebabkan hati ini terdetik untuk menghadami inti pati yang dihidangkan oleh
penulis Hanina Abdullah ini. Meletakkan prospek perkahwinan aturan keluarga
sebagai wadah utama dalam sajian minda seterusnya plot dijalin dengan begitu
jaya sehingga ke bahagian peleraian.
Nawwal Husna merupakan anak gadis kepada Haji
Nuqman dan Hajah Rahmah. Bongsu sebenarnya sesudah Kak Naja, Kak Nawrah dan
Abang Opai. Dia disuruh pulang usai tamat pengajian dan digemparkan dengan
risikan yang datang daripada pihak Puan Sri Maimun dan Tan Sri Zainal. Mamat
ketul ais! Itulah gelaran yang tersangkut di benak Nawwal Husna setelah
berjumpa pertama kali dengan pemilik nama Zahrain Alimin. Perkahwinan antara
dua insan ini berlangsung juga dengan lagak meriahnya. Biar lafaz akad yang
terzahir bersalut rasa benci dan salam pertama yang dihulur tanpa getar cinta.
Adapun mahligai yang dibina dengan cinta juga
tidak lekang dari dibadai gelombang, inikan pula dua insan yang disatukan tanpa
kerelaan sepenuh hati. Mereka hidup sebagai lakunya semua isteri. Bahkan di
ranjang juga masing-masing sudah menjadikan dua jasad menjadi satu. Tetapi
apakah perkahwinan hanya semata-mata tuntutan batin yang berlandaskan nafsu?
Pastinya jawapan kepada persoalan itu adalah tidak sama sekali. Andai benar nafsu yang menjadi keutamaan
dalam ikatan suci ini pastinya suatu saat nanti akan robohlah segala tiang seri
tatkala madu yang ada sudah kering dan jasad yang tinggal telah tiada erti.
Lantaran itu Nawwal Husna perlu bertindak. Dia
tidak boleh membiarkan bahtera yang dilayari itu karam sebelum tiba ke
pelabuhan. Nakhoda bahtera itu perlu dikuasainya. Lalu dia perlukan nasihat. Dia dambakan
azimat. Maka, tatkala itu muncullah master-ji dan side-kick, dua orang kakaknya
dengan ilmu yang penuh di dada. Sebermula itulah projek memikat suami
dilaksanakan. Segala tunjuk ajar dua orang sifu itu dipraktikkan sehabis
mungkin. Dari perut suami sehinggalah ke peraduan, segalanya dipastikan berada
dalam keadaan tip top.
Meski projek yang dilaksanakan menunjukkan
tanda-tanda positif, namun kadang kala Zahrain akan bertukar kembali menjadi
mamat ketul ais. Model terkenal, Adira
yang sentiasa menagih perhatian Zahrain berterusan menjadi mimpi hitam dalam
hidup Husna. Sehinggakan Nawwal Husna telah melarikan diri ke Jogja.
Berhasilkah projek yang direncanakan itu? Berjayakan hati ketul ais milik
Zahrain Alimin dicairkan? Projek Memikat Suami ada jawapannya.
Keseluruhannya, naskhah ini merupakan suatu
sajian santai yang ringin. Tidak mengandungi konflik yang terlalu sukar. Tidak
jua diselitkan dengan pelbagai persoalan sukar yang perlu dileraikan seiring
pembacaan. Watak-wataknya juga berputar pada satu paksi yang sama. Cuma dalam
satu dua bahagian dimunculkan watak-watak sampingan tambahan untuk menyedapkan
adunan rasa. Walau bagaimanapun, kebanyakan langkah memikat suami yang
dipaparkan di dalam novel ini kelihatan sedikit berani. Walaupun hakikatnya,
dipraktikkan oleh kebanyakan pasangan yang berumah tangga namun pada pandangan peribadi keterbukaan ini seolah tidak sesuai untuk
bacaan remaja di bawah usia.
Tuntasnya, nukilan ini merupakan satu karya
yang menghiburkan dan tidak rugi untuk menelaahnya. Jika para isteri bisa
menyelongkar teknik dan gaya untuk memikat suami, golongan Adam juga tidak
ketinggalan untuk menambahkan ilmu tentang apa yang didambakan oleh seorang
wanita yang bernama isteri. Yang penting projek ini hanya boleh dilakukan oleh
seorang ISTERI kepada SUAMI. Bagi mereka yang belum memegang gelaran ini sila
ketepikan daya imaginasi yang melayang memikirkan yang bukan-bukan. Sekian
pesanan daripada penaja!

Diari Tinta:
Madu Ilmu`..:
| Nuansa Rasa: |



















5 comments
ulasan m'bina & saya setuju hmpir kesemuanya...:)
suka ulasan awak....memang betul cerita ni sesuai utuk yg dah KAHWIN....adik2 yg belum seperti sy jgn sesekali berani nak buat 'NOW' ye.....hahahah
@Tanpa Nama
Thanks for reading. Sekadar sebuah ulasan kecil`:)
@Tanpa Nama
Thank You` 'NOW' yang ada maksud tersiratnya tersendiri..Hehehe`:D
Encik Engku, TQVM for reading PMS and reviewing it. PMS saya tulis sebagai respons kepada berlambak2 novel kahwin paksa di mana isterinya "jual mahal" Kalau dibaca adik2, nanti mereka tidak faham pula tanggung jawab isteri dalam Islam. waima tidur membelakangkan suami pun salah. You may say that in order to this, PMS has gone to the other extreme pula. Ha ha I was too playful huh? Pendapat saya ok jika isteri yang "proaktif." Tapi saya setuju 100% yg PMS bukanlah bacaan yang sesuai untuk 18 thn ke bawah. Thanks again!!