>

Ahad, Ogos 05, 2012

Muara Hati: Lagu Tema Adam & Hawa Duet Hafiz Dan Siti Nurhaliza




Sejujurnya, kalau ditanyakan siapakah gerangan penyanyi lelaki tempatan masa kini yang punya potensi besar dalam arena seni suara, pastinya jawapanku akan memihak kepada Hafiz. Hafiz yang pernah menjuarai sebuah program realiti mempunyai suara yang cukup mantap. Gemersik dan kelantangannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Justeru, apabila Dato` Siti Nurhaliza dikhabarkan berduet dengannya menerusi sebuah lagu, maka pastinya bingkisan itu akan dinantikan oleh ramai pihak.



Tambah mengujakan apabila lagu yang dirakamkan itu juga dipilih sebagai duet khas untuk drama rantaian terpanjang di Malaysia yang bakal menemui penonton di saluran Mustika HD pada hujung Ogos ini. Lagu duet yang berjudul Muara ini bakal menghiasi drama Adam & Hawa sebagai lagu temanya.




Pasti ramai yang sudah tidak sabar-sabar menantikan drama Adam & Hawa di kaca televisyen. Apatah lagi apabila drama ini meletakkan pemenang Anugerah Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 sebagai pelakon utamanya. Sudah tentu penangan Aaron Aziz sendiri akan meledakkan histeria pabila drama ini menjengah penonton di kaca televisyen.



Dan kehangatannya ditambahkan lagi dengan kehadiran lagu duet Muara yang didendangkan oleh penyanyi wanita nombor satu negara, Siti Nurhaliza dan Hafiz yang punya kelompok peminat yang tersendiri dalam cakupan yang besar.



Pastinya kombinasi skrip yang diangkat menerusi novel best seller Aisya Sofea, barisan pelakon yang terlibat, dan penyanyi juga lagu temanya merupakan satu kombinasi rencah yang sangat mesra untuk mengumpan masyarakat menjadi ketagih dengan hidangan yang bakal dihidangkan dalam bulan Syawal nanti.



Hendak dulang diberi dulang, Dulang berisi sagu mentah; Hendak pulang kuberi pulang, Tinggalkan jejak barang sepatah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...