>

Sabtu, Julai 28, 2012

Sebenarnya Saya Isteri Dia!




Sebagai manusia kita boleh bercinta dengan sesiapa sahaja yang dikehendaki. Sama ada cinta itu berbalas atau tidak, itu merupakan persoalan yang kedua. Seandainya, cinta itu berbalas dan dirasai oleh kedua-dua individu yang menyulam rasa, pastinya situasi itu akan membuahkan bunga-bunga bahagia yang bukan sedikit. Sebaliknya, andai cinta yang hadir bertandang itu sekadar bertepuk sebelah tangan maka tentu sahaja kecewa akan pantas mengisi kekosongan. Meskipun begitu, tidak ada sesiapa yang boleh begitu pasti bahawa insan yang dicintainya itulah yang akan dinikahi seterusnya menjadi pasangan hidup di dunia ini. Kerna sesungguhnya jodoh itu termaktub dalam kerahsiaan Tuhan.




Sebegitulah juga dengan nasib yang menimpa diri Syafa Aqira. Cintanya bersama Farish tidak berakhir dengan perkahwinan. Insiden kesuciannya ternoda dengan bakal adik iparnya sendiri telah menjadi satu titik hitam dalam lembaran hidupnya. Syafa Aqira terpaksa dinikahkan dengan Firash, iaitu adik kandung Farish sendiri. Begitupun, keterlanjuran yang berlaku antara Syafa dan Firash itu bukanlah kehendak mereka. Mereka berdua sebenarnya menjadi mangsa rancangan jahat oleh individu lain. Yang menginginkan jasad Firash dan yang mendambakan tubuh Syafa pada malam sambutan hari jadi Raina dan Raimy ialah pasangan adik beradik yang menyambut ulang tahun kelahiran mereka sendiri. Walau bagaimanapun, perancangan mereka tidak menjadi dan akhirnya Syafa dan Firash yang bersatu tanpa kesedaran diri.




Disatukan dengan insan yang tidak dicintai apatah lagi yang lebih muda usia daripadanya sebanyak empat tahun merupakan satu perkara yang bukan mudah bagi Syafa Aqira. Namun atas layanan dan penerimaan Datin Farizah yang sudah menganggap dirinya bagaikan anak sendiri semenjak dia bercinta dengan Farish dahulu, dia terpaksa akur dengan keputusan wanita itu. Lagipula, dirinya yang yatim piatu dan sebatang kara sudah tidak punya tempat bergantung lagi. Mana mungkin, dirinya yang sudah tercela itu akan disunting oleh kumbang lain. Lantaran itu, dia terima walau perlu dinikahkan dengan lelaki yang sama sekali tidak pernah dibayangkan dalam fikirannya. 




Hidup bersama dalam alam rumah tangga walaupun bukan dalam erti kata sebenar sebagai pasangan suami isteri namun masih juga mampu menerbitkan rasa kasih dan sayang di dalam kalbu. Ini sama sekali tidak mustahil lantaran setiap hari memandang wajah yang sama, berbual dan tinggal di bawah satu bumbung yang serupa. Dalam diam ada cinta buat Firash di hati Syafa begitu juga sebalikya. Walau bagaimanapun, kedua-dua bibir erat terkunci. Tidak ada luahan madah asmara yang meniti. Maka tidak hairanlah jika masing-masing memendam rasa dan adakalanya ada yang terasa hati.




Ada banyak liku dan ranjau yang perlu dihadapi sebelum bahagi itu menjadi milik insani. Namun itu juga bukannya kepastian bahawa bahagia yang dikecapi itu akan kekal abadi. Firash dan Syafa disatukan dalam ijab dan kabul yang tidak disulami keikhlasan. Namun, seiring meniti kehidupan akhirnya cinta datang juga antara kedua-dua mereka. Tetapi bahagi bukan sebegitu mudah untuk dikecapi lantaran di hadapan mata ada jalan berliku yang sedia menanti. Walau akhir kisah setebal 897 halaman ini indah, namun susur galurnya pasti akan membuat pembaca tertanya-tanya. Dan segalanya akan terjawab hanya dalam bingkisan Zura Asyfar berjudul Sebenarnya Saya isteri Dia!

Hendak dulang diberi dulang, Dulang berisi sagu mentah; Hendak pulang kuberi pulang, Tinggalkan jejak barang sepatah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Red Polka Dotted Pencil