Khamis, Februari 16, 2012

Menunggu Kereta Api








Bukan selalunya tindakan orang tua itu betul. Memang benar mereka yang melahirkan kita. Memang jelas merekalah yang terlebih dahulu mengenali asam garam kehidupan. Tetapi hakikat mereka juga manusia biasa tidak boleh dinafikan. Dan selayaknya sebagai seorang insan biasa, manusia sememangnya tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Pada pengamatan saya, itulah sebenarnya yang menjadi agenda utama dalam bingkisan pemilik nama tersohor dalam arena penulisan, Norhayati Berahim.


Ceritera ini diperkenalkan sedari watak-watak utamanya masih kecil dan mentah. Kisah Karina di samping insan-insan di sekelilingnya juga Zarul bersama ahli keluarganya dikisahkan terasing pada bahagian permulaan novel ini. Sehinggalah perkembangannya menemukan Karina dan Zarul di Bandaraya  Munich. Bagi saya kisah percintaan dua insan ini biasa-biasa sahaja. Tidak terlalu kemaruk dan taksub dengan namanya cinta. Mereka berjumpa beberapa ketika di luar tatkala bergelar perantauan di bumi Jerman, lalu tersimpul kasih bertalikan cinta. Kemudiannya, perhubungan itu diteruskan sehingga mereka pulang ke tanah air. Dan setelah itulah , hadirnya konflik di antara mereka.



 
Bonda Zarul yang begitu kuat pegangan adat minangnya tidak merestui perhubungan mereka.  Bahkah, Zarul dipaksa untuk bernikah dengan kakak iparnya sendiri setelah kematian abangnya, Zafrul. Bagaimana mungkin seorang ibu boleh memaksa anak terunanya yang diketahui mempunyai kekasih untuk berganti tikar? Begitu tegakah hati seorang ibu mengorbankan kebahagiaan anak kandungnya semata-mata ketaksuban pegangan adat? Jawabnya ada tersisip di dalam novel terbitan NB Kara Sdn Bhd setebal 872 halaman ini.

 
Di suatu sudut yang lain dikisahkan pula perihal seorang ibu yang senang dipanggil Mek berikutan letaknya keluarga ini di negeri Kelantan. Seorang ibu yang memendamkan kelukaannya yang menjadi rahsia sedari Karina dan Zakaria masih kecil. Seorang ibu yang tabah mencari punca pendapatan untuk keluarganya. Seorang ibu yang tidak mengira penat lelah menguruskan kedai runcit untuk memastikan keberlangsungan hidup sekeluarga. Sayangnya, ibu itu tidak tunduk kepada perintah Allah. Dahinya tidak sujud menyembah yang Esa. Meski dia tidak lokek bersedekah dan masih berpuasa namun hatinya keras untuk rukuk dan sujud pada Dia yang mencipta. Biar Karina puas mengajak sedari kecil hingga dewasa namun degilnya sebegitu juga.



 
Sehinggalah, hadirnya watak Nafisah. Seorang gadis kecil berusia tujuh tahun. Anak kepada Zakaria dan Shima. Cucu empunya Mek Yah, yakni bonda Karina. Petah bicara anak kecil itu tentang dosa dan pahala, bersangkutan doa dan amalan akhirnya telah membuka hati Mek Yah untuk kembali ke pangkal jalan. Takjubnya di sini, bagaimana seorang anak kecil dijadikan oleh Allah untuk membuka pintu hati hambanya sedangkan Karina sendiri hampir lelah dalam usahanya untuk memujuk ibu tersayang untuk kembali kepada ajaran yang sebenarnya. Pertautan erat antara seorang cucu dan neneknya sehinggakan hubungan mertua dan menantu bertambah pulih juga menjadi bayangan bahawa sesungguhnya jika sesuatu itu diizinkan Allah maka segalanya akan berlaku, cuma perlu sabar menitipkan doa kepadaNya dan memohon tanpa erti putus asa juga kecewa.

 
Sementara itu, hadir pula watak Seha dalam kehidupan dua orang sahabat iaitu Karina dan Falijah. Kegalauan hati serta rahsia keluarganya menjadikan Seha sebagai seorang gadis yang tidak sempurna imannya. Namun, bantuan Karina dan Falijah berjaya juga akhirnya untuk membawa Seha dari dunia gelapnya yang bertemankan air kencing syaitan dan segala macam yang bertentangan dengan ajaran Islam. Di sini, pembaca digambarkan dengan keikhlasan dalam persahabatan. Penerimaan diri dalam bersahabat tidak ditentukan oleh luaran sebenarnya. Sebaliknya hati yang menjadi sandaran utama. Dan sudah pastinya sahabat yang baik adalah seorang yang akan mengajak kita mendekati pintu-pintu syurga sekali gus menjauhi pintu-pintu neraka.


Setiap perjalanan ada destinasinya` Setiap cinta ada kesudahannya`

 
Begitulah secalit coretan tentang watak utama dan watak sampingan yang hadir dalam kisah ini. Masih ada banyak watak sampingan lain yang agak menonjol dalam ceritera ini. Namun, cukuplah sekadar yang disebutkan.  Sejujurnya, ini merupakan karya pertama tulisan Norhayati Berahim yang saya baca. Meski, nukilan beliau agak popular namun entah mengapa sebelum ini tidak pernah tergerak hati untuk membaca. Bahkan, ini juga pertama kali membaca novel terbitan NB Kara. Dan usai membacanya, baharulah saya mengetahui sebab musababnya penulis ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri juga setia berdiri di sampingnya.


Saya jatuh cinta pada kisah ini. Tidak salah andai dikatakan cerita ini tidak pernah sama dengan ratusan cerita lain yang pernah dibaca. Menelusurinya, menerbitkan benci pada seorang insan yang bernama ibu yang begitu ego sehinggakan kebahagiaan anak sendiri diperdagangkan. Bayangkanlah, hanya kerna prinsip kesukuan seorang anak diperlakukan dengan kejam sehinggakan menemui ajal di tangan isteri yang tidak dicintai yang dipaksa untuk menikahinya! Tetapi dihadirkan juga watak seindah Karina yang bukanlah tersangat alim. Namun, Karina masih lagi mengajak pembaca untuk mentaati seorang ibu walau seteruk manapun rupa dan tingkah ibu itu.  



 
Sepasang lelaki dan perempuan mencintai. Terhalang oleh kelakuan dan sikap ibunya lelaki. Si lelaki mengajak gadisnya untuk kahwin lari. Tidak dipersetujui oleh pasangannya itu. Walau dikorbankan kekasihnya kepada kakak ipar pasangannya sendiri. Mana mahu mencari seorang wanita yang sebegitu rupa. Membiarkan lelaki yang dicintainya itu bernikah dengan kakak iparnya kerna aturan ibunya yang begitu taksub dengan kesukuan hanya semata-mata mahukan kekasihnya itu mendengar kata ibunya juga kerna tiada restu dari ibunya?

 
Tinggalkan mereka yang menjadi penghias utama. Teringat kepada Ameen. Sayu pula hati ketika menaip sebaris namanya. Mungkin juga orang yang baik-baik tidak lama di dunia kan? Mungkin, aku juga akan merasai kehadirannya tatkala menunggu kereta api di Stesen Komuter Serdang, siapa tahu? Ringkasnya, saya suka dengan bingkisan ini. Ada pengajaran yang sangat indah tersisip kemas dalam lipatan ceritanya. Bersangka baiklah sesama manusia dan kepada Allah. Juga jauhkan prasangka kerna  perlakuan itu sekadar mengundang yang buruk semata-mata. 




 
Sesungguhnya, setiap manusia itu telah ditetapkan destinasinya. Sementara menanti, setialah menunggu kereta api untuk tiba ke destinasi yang telahpun ditentukan oleh Ilahi.


6 Komentar

Write Komentar
P#eoniX
AUTHOR
17/2/12 12:33 PG delete

macam final destination jerk...tapi,banyak gak pengajran yang boleh ditimba melalui huraian bro muz nehh...walaupon x berkesempatan nak bace novel neh...bunyi cam besh jer...

Reply
avatar
17/2/12 2:22 PG delete

@P#eoniX
Apa yg sy boleh kata tak rugi membacanya.

Reply
avatar
Aina
AUTHOR
18/2/12 5:22 PTG delete

Ulasan yg sangat menarik sampai terasa nak membaca nya juga:)

Reply
avatar
29/10/12 7:17 PTG delete

terima kasih engku dengan ulasan ini. Setiap kali menulis saya akan menentukan apa yang boleh saya sampaikan, supaya menjadi ingatan dan teladan pada para pembaca. Zaman seronok menulis untuk popular sudah lama berlalu, kalau ada kelapangan bolehlah baca karya terbaru saya biar jarimu ku genggam..salam ukwah..

Reply
avatar
30/10/12 2:15 PTG delete

@Norhayati Berahim Terima kasih akak, singgah sini. InsyaAllah, ada kesempatan akan sy cari. Buat masa n baru nak baca Aku Bukan Billy Miligan:D

Reply
avatar